S’wak mansuhkan cukai tanah

S’wak mansuhkan cukai tanah

KUCHING, 15 Mac (Bernama) – Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem mengumumkan pemansuhan cukai tanah untuk tanah pertanian dan tanah kediaman di Sarawak berkuatkuasa hari ini.

“Merujuk kepada pengumuman yang dibuat pada 26 Feb mengenai pemansuhan cukai tanah, saya ingin menyatakan pemansuhan ini tertakluk hanya kepada pekebun kecil dengan tanah pertanian yang kurang daripada 100 ekar (40 hektar) dan tanah kediaman.

Berkuatkuasa daripada 15 Mac (hari ini) cukai tanah tidak lagi dikenakan ke atas tanah ini. Semua tunggakan dan surcaj akan dikecualikan,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Adenan berkata keputusan memansuhkan cukai tanah ini akan melibatkan 360,422 pemilik dan cukai berjumlah RM8.58 juta atau 19 peratus daripada keseluruhan cukai tanah.

“Tanah pertanian pekebun kecil (kurang daripada 100 ekar) didaftarkan di bawah 173,752 pemilik dengan cukai sebanyak RM3.62 juta atau lapan peratus daripada jumlah cukai tanah manakala 186,670 pemilik tanah kediaman dengan cukai tanah sebanyak RM4.96 juta atau 11 peratus daripada jumlah cukai tanah,” katanya.

Tan Sri Adenan Satem (kanan) pada pengumuman pemansuhan cukai tanah pertanian kurang daripada 100 ekar dan kediaman berkuatkuasa serta merta di Wisma Bapa Malaysia kelmarin. – Bernama
Tan Sri Adenan Satem (kanan) pada pengumuman pemansuhan cukai tanah pertanian kurang daripada 100 ekar dan kediaman berkuatkuasa serta merta di Wisma Bapa Malaysia kelmarin. – Bernama

Adenan juga berkata Sarawak merupakan yang pertama dan satu-satunya negeri yang memansuhkan cukai tanah untuk tanah pertanian milik pekebun kecil dengan keluasan kurang daripada 40 hektar dan tanah kediaman.

Apabila ditanya mengenai mereka yang telah membayar cukai mereka, beliau berkata kerajaan negeri akan membayar balik cukai tanah yang dibayar itu.

Sementara, Adenan berkata dari semasa ke semasa, beliau dan kabinet negeri akan membincangkan perkara yang menyentuh cukai taksiran untuk premis kediaman, komersil dan industri.

“Kabinet tersebut akan membincangkan mengenai perkara ini dan juga dari semasa ke semasa sama ada 22 Julai ini boleh dijadikan cuti umum di Sarawak. Saya akan mengumumkan dua perkara ini kemudian,” katanya.