S’wak sasar 5 juta pelancong tahun ini

S’wak sasar 5 juta pelancong tahun ini

KUCHING, 23 Mac (Bernama) – Dengan sasaran untuk menarik sebanyak 5 juta pelancong ke Sarawak tahun ini, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Singapura dan Hong Kong, hab pelancongan ikonik Asia bagi mencapai statistik berkenaan.

Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata sebanyak 60 peratus daripada 25.7 juta pelancong melawat Malaysia tahun lepas melalui Singapura manakala Hong Kong merupakan pintu masuk bagi pelancong dari tanah besar China.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Singapore Cooperation Enterprise untuk memanfaatkan kepakaran dari republik berkenaan dalam membangunkan destinasi pelancongan dan produk baharu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan majlis Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Sarawak di sini hari ini.

Mengenai Singapura, Abang Johari berkata kerajaan negeri akan mengadakan kempen promosi ‘Sarawak Week in Singapore’ dalam tempoh dua bulan dengan slogan ‘Let’s Play, Play in Sarawak… Where Adventures Lives’.

Katanya, promosi secara agresif akan dilakukan melalui iklan pada badan bas, dokumentari, kemas kini produk dan sesi perniagaan dengan pihak media republik berkenaan serta media sosial.

Mengenai Hong Kong, Abang Johari berkata kerajaan negeri juga telah menandatangani MoU dengan Hong Kong Airlines yang akan memulakan penerbangan sulungnya di sini, bermula 26 April serta penerbangan terus dua kali seminggu dari Hong Kong.