S’wak tidak sokong pemisahan

S’wak tidak sokong pemisahan

KUCHING, 22 Julai – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, hari ini, berkata kerajaan negeri bersetuju dengan sentimen yang disuarakan oleh pergerakan ‘Sarawak Untuk Rakyat Sarawak’ tetapi tidak bersetuju negeri ini berpisah dari Malaysia.

Beliau berkata tidak dapat dinafikan bahawa Sarawak dan rakyatnya menikmati segala faedah menerusi Malaysia bertahun-tahun lamanya sungguhpun ia mungkin tidak mencukupi seperti yang diharapkan hari ini.

“Kita masih sebuah negara yang berusaha menambah baik setiap orang dan biar saya nyatakan di sini bahawa kerajaan negeri bersetuju dengan sentimen yang disuarakan oleh pergerakan Sarawak Untuk Rakyat Sarawak tetapi kami tidak bersetuju untuk berpisah daripada persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memperingati sejarah kemerdekaan Sarawak yang diadakan di perkarangan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Adenan berkata kerajaan negeri tidak akan melayan dan meluluskan tindakan seperti itu, termasuk menerusi pungutan suara, sebagai cara untuk merealisasikannya.

“Kami, bagaimanapun, percaya dengan autonomi sepenuhnya bagi Sarawak di bawah perlembagaan, kami percaya dengan penurunan lebih banyak kuasa persekutuan kepada negeri yang sedang kami rundingkan dengan kerajaan persekutuan,” katanya, dan menambah, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk meneliti perkara itu. – Bernama

Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud (2 kanan) merasmikan Majlis Memperingati Sejarah Kemerdekaan Sarawak di Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini. Turut hadir isterinya, Toh Puan Ragad Kurdi (kanan), Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem (tengah) dan timbalannya Tan Sri Alfred Jabu (dua, kiri). –Bernama