SWAT berjaya bunuh buaya

SWAT berjaya bunuh buaya

KUCHING, 9 Okt – Seekor buaya dewasa berukuran lebih 4 meter panjang berjaya dibunuh di Sungai Samarahan, Kota Samarahan, kira-kira 30 kilometer dari sini semalam.

Perbadanan Kehutanan Sarawak (SFC) dalam satu kenyataan berkata buaya itu dibunuh dalam operasi oleh pasukan ‘Swift Wildlife Action Team’ (SWAT) di bawah SFC berikutan serangan ke atas Ismandi Osman yang dilaporkan hilang pada pertengahan September.

SFC berkata operasi itu membabitkan kawasan perairan antara Kampung Pinang hingga ke hulu Kampung Endap, dengan tumpuan di kawasan sekitar lapan kilometer dari tempat mangsa diserang.

Buaya dewasa berukuran lebih 4 meter panjang telah dibunuh di Sungai Samarahan, kira-kira 30 kilometer dari Kuching kelmarin. - Bernama
Buaya dewasa berukuran lebih 4 meter panjang telah dibunuh di Sungai Samarahan, kira-kira 30 kilometer dari Kuching kelmarin. – Bernama

“SWAT memasang 13 pancing dan seekor buaya jantan sepanjang 4.39 meter, seberat kira-kira 600 kilogram memakan umpan pada salah satu pancing,” kata kenyataan itu.

“Berikutan itu, buaya tersebut telah dilapah dan kandungan perutnya diperiksa.

“Beberapa tulang dan rambut ditemui.

Kerja-kerja forensik akan dijalankan bagi menentukan sama ada tulang dan rambut berkenaan milik manusia,” kata kenyataan itu. – Bernama