Sweden menang tipis

Sweden menang tipis

SOLNA, Sweden, 15 Nov (AFP) – Zlatan Ibrahimovic menjaringkan gol kesembilannya dalam sembilan aksi kelayakan Eropah untuk memberikan kemenangan 2-1 Sweden ke atas Denmark dalam perlawanan pertama play-off Euro 2016 semalam.

Penyerang berusia 34 tahun itu menyudahkan sepakan penalti pada separuh masa kedua selepas Emil Forsberg menjaringkan gol pertama antarabangsanya pada akhir separuh masa pertama ketika Sweden dilihat bakal mencapai kemenangan.

Tetapi pemain gantian Nicolai Jorgensen menjaringkan gol penyelamat bagi Denmark 10 minit sebelum tamat perlawanan menjelang perlawanan kedua di Copenhagen Selasa depan.

Selepas berdiam diri selama seminit bagi menghormati mangsa–mangsa serangan Paris, juara 1992 itu mendominasi kedudukan awal tetapi Sweden pula yang mendapat peluang terbaik.

Bola jatuh kepada penyerang Panathinaikos, Marcus Berg pada minit ke-18 tetapi rembatan leret kaki kirinya berjaya diselamatkan oleh Kasper Schmeichel.

Reaksi pertahanan Denmark, Simon Kjaer ketika terkena bola rembatan Ibrahimovic (tengah) semasa aksi pusingan pertama play-off kelayakan Euro 2016 di Solna, kelmarin. - AFP
Reaksi pertahanan Denmark, Simon Kjaer ketika terkena bola rembatan Ibrahimovic (tengah) semasa aksi pusingan pertama play-off kelayakan Euro 2016 di Solna, kelmarin. – AFP

Sepakan Berg tersasar ketika perlawanan memasuki setengah jam selepas mendapatkan hantaran menarik Ibrahimovic yang berang tidak mendapat hantaran balas.

Ibrahimovic semakin berpengaruh ketika perlawanan diteruskan dan terlepas jaringan selepas melakukan pusingan bijak.

Pada akhirnya, Nicklas Bendtner mensia-siakan peluang terbaik Denmark apabila terlepas sepakan dari jarak enam ela selepas hantaran menarik Christian Eriksen.

Denmark menerima padah apabila Sweden menjaringkan gol pendahuluan pada akhir separuh masa pertama.

Hantaran ke belakang Jimmy Durmaz membolehkan Mikael Lustig memecut ke sudut kanan dan hantarannya sampai kepada Forsberg dan pemain sayap pasukan Leipzig itu meledakkan jaringan untuk menewaskan Schmeichel.