Sweden senaraikan Ibra dalam skuad Olimpik

Sweden senaraikan Ibra dalam skuad Olimpik

STOCKHOLM, 16 Jun (AFP) – Bintang sensasi, Zlatan Ibrahimovic disenaraikan dalam skuad 35 pemain Sweden untuk menghadapi Sukan Olimpik Rio pada Ogos depan.

Skuad itu akan dikecilkan kepada 22 pemain pada pertengahan Julai ini, dengan hanya tiga slot ditawarkan buat pemain yang dilahirkan sebelum tahun 1993.

Bersama Ibrahimovic, 34, skuad awal itu termasuk dua lagi pemain yang sedang beraksi di Kejohanan Eropah di Perancis iaitu Victor Lindelof, 21, dan Ludwig Augustinsson, 22.

Pengendali, Hakan Eriksson, berkata masalah utama yang dihadapinya ketika ini adalah untuk meyakinkan kelab untuk melepaskan pemain sepanjang temasya itu berlangsung dari 5 hingga 21 Ogos.

“Ia menyebabkan saya sakit kepala, sangat rumit,” kata Eriksson. “Sesetengah kelab mengatakan ya, sesetengah tidak, dan selebihnya belum memutuskannya.”

Kontrak Ibrahimovic bersama Paris Saint-Germain sudah pun tamat selepas empat musim di Ligue 1, namun dia belum mempunyai ikatan dengan mana-mana kelab walaupun Manchester United dikaitkan berminat menandatanganinya secara percuma.