Sweden tumpul tanpa Ibrahimovic

Sweden tumpul tanpa Ibrahimovic

MALMO, Sweden, 31 Mei – Sweden cukup berbeza tanpa kelibat penyerang bintang dan kapten, Zlatan Ibrahimovic apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Slovenia awal pagi tadi.

Sejumlah 17,000 penonton datang untuk menyaksikan bintang tempatan, Ibrahimovic beraksi tetapi sekadar disajikan persembahan hambar bertemu pasukan yang tidak layak ke Euro 2016.Ibrahimovic tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan ringan di betis dengan pengendali Sweden, Erik Hamren mungkin terpaksa berfikir panjang sebelum menyenaraikan skuad terakhir hari ini.

Penyerang Bordeaux Isaac Kiese Thelin, yang kembali daripada musim penuh kecederaan, kurang pantas dan mensia-siakan dua peluang keemasan – satu di setiap babak. Penyerang Celta Viga, John Guidetti, tampak lebih meyakinkan untuk mengisi skuad Euro 2016 Perancis walaupun dia juga terlepas dua peluang terbaik memecah kebuntuan pada perlawanan itu.

Victor Lindelof, 21, dari Benfica mengukuhkan kedudukan sebagai benteng pasukan hanya pada panggilan ketiga menyarung jersi Sweden, manakala pemain sayap Olympiakos Jimmy Durmaz turut mempamerkan aksi mantap. Sweden akan bertemu Wales di Solna pada 5 Jun untuk aksi pemanas badan terakhir sebelum perlawanan pembukaan Kumpulan E menentang Republik Ireland di Paris pada 13 Jun.

Sweden turut berdepan Belgium dan Itali dalam saingan Kumpulan E. – AFP