Sweet as Sara...

Sweet as Sara buka cawangan utama

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Setelah berniaga secara dalam talian sejak 2011, Sweet as Sara telah membuka cawangan utama mereka di Setia Kenangan II, Kiulap, di sini, hari ini.

Pembukaan rasmi kedai roti berkenaan telah dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Syarikat muBn Learning & Growth, Dr. Hajah Mona Yati binti Dato Seri Setia Laila Jasa Haji Mohd Kassim selaku tetamu kehormat majlis. Syarikat muBN Learning & Growth menyediakan program berasaskan kompetensi pembelajaran dan pertumbuhan yang berkualiti.

Pada majlis itu, Dr. Hajah Mona Yati berkesempatan memotong kek dan reben sebagai tanda perasmian kedai berkenaan sambil diiringi Pengasas dan Pengarah Pengurusan Sweet as Sara, Dayang Sarinahayati binti Haji Mohd Taib.

Pembukaan kedai berkenaan penting bagi Sweet as Sara kerana mereka telah beroperasi sejak tahun 2011 dengan menjual produk dalam talian daripada satu produk iaitu kek cawan hingga kepada enam lagi produk iaitu kek, kek keju, tart, pavlova, puding dan kuih mor.

Dayang Sarinahayati ketika ditemu bual Media Permata berkata, mereka telah berkembang maju dengan menyertai acara-acara dan mendapat bantuan daripada pekerja separuh masa untuk menjual produk mereka.

Dr. Hajah Mona Yati dan Dayang Sarinahayati ketika memotong reben pembukaan rasmi cawangan utama Sweet as Sara.
Dr. Hajah Mona Yati dan Dayang Sarinahayati ketika memotong reben pembukaan rasmi cawangan utama Sweet as Sara.
Dr. Hajah Mona Yati selaku tetamu kehormat bersama-sama dengan Dayang Sarinahayati ketika memotong kek perasmian.
Dr. Hajah Mona Yati selaku tetamu kehormat bersama-sama dengan Dayang Sarinahayati ketika memotong kek perasmian.

“Kami juga telah berkembang dengan adanya gerai kecil kami bagi hidangan pencuci mulut yang terletak di Amsarra, Airport Mall sejak tahun lepas, dengan membakar roti di rumah,” jelas beliau.

Pada tahun ini, tambahnya, cawangan utama Sweet as Sara dibukakan dengan menampung ruang solat, dapur pusat, ruang makan dan paparan produk yang dijual.

Menurutnya lagi, perkembangan perniagaan berkenaan juga telah dibantu oleh pekerjanya seramai 15 orang.

Syarikat berkenaan juga mempunyai matlamat untuk merekrut 20 atau lebih kakitangan pada tahun ini.

Para kakitangan Sweet as Sara dan Pengarah Pengurusan Sweet as Sara ketika bergambar ramai.
Para kakitangan Sweet as Sara dan Pengarah Pengurusan Sweet as Sara ketika bergambar ramai.

Dayang Sarinahayati juga menjelaskan bahawa mereka mempunyai misi untuk menjadi sebuah kedai roti yang terbaik di Negara Brunei Darussalam, selain menerajui perniagaan dalam industri makanan dan minuman di Brunei dan peringkat antarabangsa.

Selain itu, Sweet as Sara juga ingin menjadi majikan terbaik dengan hanya mengambil 100 peratus penduduk tempatan, memberi manfaat pada rakyat Brunei Darussalam dengan menyediakan produk makanan yang berkualiti tinggi dan menjalankan perniagaan melalui penerapan nilai-nilai Islam.

Dengan majlis pelancaran itu, Kedai Roti Sweet as Sara hari ini mula dibukakan kepada orang ramai bermula jam 1 petang dan sebanyak 1,000 pencuci mulut telah diberikan secara percuma kepada 300 orang pengunjung awal yang bertujuan bagi memberi semula kepada pelanggan setia yang telah menyokong mereka sejak lima tahun yang lalu.