Swiss pertimbang rakyat terima pendapatan asas

Swiss pertimbang rakyat terima pendapatan asas

BASEL, Switzerland, 5 Jun – Pengundi Swiss dijangka memutuskan hari ini sama ada setiap rakyat harus menerima pendapatan asas terjamin, referendum pertama di dunia mengenai perkara sedemikian.

Walaupun tinjauan terbaru menunjukkan 70 peratus orang menentang idea tersebut – yang sedang dibincangkan oleh ahli ekonomi dan ahli politik di beberapa negara – pencadang berkata undi awam akan mencatat kejayaan, walaupun jika mereka hanya memenangi 20 peratus.

“Kami mahu menghantar satu isyarat dengan referendum ini. Perdebatan mengenai pendapatan asas pastinya akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang,” beritahu Philip Kovce, salah seorang pencadang, kepada dpa.

Ideanya adalah negeri akan menjamin setiap orang dewasa pendapatan bulanan minimum sebanyak 2,500 francs Swiss. Setiap kanak-kanak akan menerima 625 francs.

Pada masa yang sama, ia akan meramalkan pembatalan bayaran pengangguran, sosial dan pencen. Individu dengan gaji lebih tinggi tidak akan menerima wang tambahan.

Jawatankuasa yang melancarkan inisiatif itu berkata pendapatan asas akan menjadi reaksi yang perlu untuk revolusi digital sekarang, yang telah membawa kepada pekerjaan yang semakin berkurangan. Kerajaan Swiss menentang konsep tersebut, berkata langkah berjimat-cermat atau kenaikan cukai diperlukan untuk membiayainya.

Kerajaan juga bimbang pendapatan asas akan menarik ramai penghijrah.

Parti sayap kiri di Jerman dan Gerakan Lima Bintang di Itali juga telah menyokong konsep pendapatan asas itu. – dpa