Switzerland elak jadi ‘syurga simpanan dana haram’

Switzerland elak jadi ‘syurga simpanan dana haram’

BERNE, 25 Ogos (Reuters) – Switzerland menjangka melaksanakan undang-undang baru menjelang akhir tahun ini yang akan menyegerakan pengembalian dana haram di negara Alpine tersebut, di mana beribu-ribu “individu politik” dipercayai memiliki akaun bank, menurut pegawai tertinggi Switzerland semalam.

Pihak berkuasa Switzerland bekerjasama dengan beberapa buah negara, di antaranya Haiti, Mesir, Tunisia dan Ukraine, untuk mengembalikan aset yang dibekukan berikutan perubahan kuasa pemerintahan, menurut ketua jabatan undang-undang antarabangsa Kementerian Luar persekutuan, Valentin Zellweger.

Secara spesifiknya, mereka berusaha untuk mengembalikan AS$40 juta kepada Tunisia, suatu “bahagian yang besar” dari sejumlah AS$60 juta yang disorokkan ketika era bekas pemimpin Zine al-Abidine Ben Ali, katanya.

Bagaimanapun pembunuhan pendakwa raya Mesir memperlahankan kerjasama itu dengan kaherah mengenai pengembalian dana yang ada kaitan dengan bekas Presiden Hosni Mubarak, katany.

Kedua-dua dewan Parlimen Switzerland masih memerlukan penyatuan versi mereka mengenai draf undang-undang baru itu termasuk isu statut pengehadan, kata Zellweger.

Ketua jabatan undang-undang antarabangsa Kementerian Luar Switzerland, Valentin Zellweger. – Reuters
Ketua jabatan undang-undang antarabangsa Kementerian Luar Switzerland, Valentin Zellweger. – Reuters

“Saya fikir bahawa kami hanya akan memperoleh statut menjelang akhir tahun ini,” katanya. “Ia bakal menjadi tindakan paling menyeluruh di seluruh dunia…ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.”

Sejak 25 tahun lepas, Switzerland sudah mengembalikan AS$1.8 bilion dalam bentuk dana yang dicuri atau digelapkan yang dirampas daripada akaun para diktator termasuk Ferdinand Marcos dari Filipina dan Sani Abacha dari Nigeria sehingga kepada Jean-Claude ‘Baby Doc’ Duvalier dari Haiti dan bekas pemimpin Zaire, Sese Seko Mobuto.

Dalam kes terbaru, pihak berkuasa Switzerland sudah bersetuju dengan permintaan Amerika Syarikat supaya membekukan dana mereka yang disyaki ada kaitan dengan Gulnara Karimova, anak perempuan Presiden Uzbekistan, Islam Karimov, menurut jurucakap Pejabat Keadilan Switzerland.

Karimova menjadi Duta Uzbekistan ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan wujud persoalan mengenai keimunan, kata Zellweger, sambil menambah: “Pihak berkuasa Switzerland adalah yang pertama akan membekukannya.”