Switzerland singkirkan Ireland U

BASEL, 13 Nov – Switzerland mengikat Ireland Utara untuk memastikan satu tempat ke Piala Dunia 2018 di Rusia dengan keputusan 0-0 dalam aksi playoff kedua awal pagi tadi, mara dengan kemenangan agregat 1-0.

Skuad Vladimir Petkovic mensia-siakan banyak peluang di separuh masa pertama, tetapi penalti kontroversi dalam playoff pertama yang disudahi oleh Ricardo Rodriguez di Belfast terbukti cukup bagi Switzerland mencapai penampilan keempat berturut-turut Piala Dunia.

“Ia sangat sukar, terlalu banyak tekanan,” kata penjaga gol Switzerland, Yann Sommer kepada siaran televisyen RTS.

“Semua orang cakap semuanya hampir selesai, tetapi menentang pasukan seperti itu ia adalah satu perjuangan. Saya sangat teruja kami mencapai matlamat kami.

“Malangnya kami tidak begitu efisien kerana ia pasti lebih mudah.”

Pemain pertahanan Switzerland, Manuel Akanji (kiri) cuba mengeluarkan bola dari petak bahaya dalam aksi playoff kedua menentang Ireland Utara di Stadium St Jakob-Park. – AP

Ireland Utara kempunan dalam usaha mereka untuk mara ke Piala Dunia sejak 1986.

“Akhirnya keputusan buruk dalam perlawanan pertama menghantui kami,” kata pengurus Ireland Utara, Michael O’Neill kepada Sky Sport, selepas satu keputusan penalti kontroversi yang disempurnakan oleh Rodrigiez selepas Corry Evans dilihat menggunakan tangan oleh pengadil.

“Persembahan dan respons kami malam tadi adalah hebat. Kami adalah pasukan yang lebih baik.

“Kadangkala kami bergantung pada nasib tetapi kami memberikan tekanan sehingga minit ke-94. Para pemain sangat kecewa tetapi saya bangga dengan mereka.”

O’Neill menggantikan Kyle Lafferty di bahagian serangan dengan penyerang Queens Park Rangers, Conor Washington, sementara pasukan tuan rumah menurunkan kesebelasan yang sama.

Dengan hujan lebat membasahi padang St Jakob-Park yang dalam keadaan teruk, Ireland Utara memulakan perlawanan dengan baik. – AFP