Switzerland tanpa Senderos di Euro

Switzerland tanpa Senderos di Euro

LAUSANNE, 31 Mei – Pengendali Switzerland Vladimir Petkovic mengakui dia membuat keputusan sukar untuk tidak menamakan pertahanan berpengalaman Philippe Senderos dalam senarai akhir 23 pemain untuk ke Kejohanan Eropah yang akan bermula pada 10 Jun ini.

Senderos, 31, yang tidak lagi menjadi pilihan utama Switzerland, kini beraksi buat Grasshopper Zurich selepas meluangkan tempoh beberapa musim dengan Arsenal dan AC Milan.

Bersama Senderos, beberapa pemain lain turut tidak terpilih dalam senarai diputuskan Petkovic iaitu pertahanan Udinese, Silvan Widmer, Luca Zuffi (Basel) dan penjaga gol Yvon Mvogo (Young Boys).

“Ia adalah satu keputusan yang sukar untuk saya mengecilkan skuad kepada 23 pemain,” kata Petkovic.

“Semua pemain menjalani latihan dengan baik pada minggu pertama di kem Lugano. Namun ia sebahagian daripada tugas saya.”

Malah, keputusan itu juga menyaksikan masih tiada tempat buat bekas kapten Gokhan Inler, yang diketepikan daripada skuad sementara 28 pemain.

Kekecewaan terbaru dialami pemain Leicester City itu selepas diberi peluang terhad untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Switzerland akan membuka kempen menentang Albania di Lens pada 11 Jun, sebelum aksi Kumpulan A menentang Romania dan tuan rumah Perancis. Mereka yang tewas kepada 1-2 kepada Belgium Sabtu lalu, akan berdepan Moldova pada Jumaat ini sebelum bertolak ke Perancis. – AFP