Switzerland tarik balik sekatan ke atas Iran

Switzerland tarik balik sekatan ke atas Iran

GENEVA, 14 Ogos (AFP) – Switzerland semalam menarik balik beberapa sekatan ekonomi yang sudah pun digantung ke atas Iran, berikutan perjanjian bersejarah di antara Tehran dan kuasa-kuasa dunia mengenai program nuklear Iran.

Dengan mengambil kira “perubahan penting dalam pertikaian nuklear selama 12 tahun,” kerajaan Switzerland berkata ia memutuskan untuk menarik balik sebahagian sekatan ke atas Iran yang sudah pun digantung pada Januari 2014.

Ia memutuskan untuk menarik balik pengharaman ke atas transaksi logam berharga dengan badan-badan negara Iran, selain peraturan untuk melaporkan semua dagangan dalam produk petrokimia Iran.

Ia turut menarik bali peraturan untuk melaporkan pengangkutan minyak mentah dan produk petroleum Iran, selain polisi insurans yang dikeluarkan berkaitan dengan transaksi seumpama itu.

Switzerland, yang mewakili kepentingan AS di Iran sejak Washington dan Tehran memutuskan hubungan diplomatik pada 1979, berkata langkah perlu “dilihat sebagai petanda sokongannya ke atas pelaksanaan perjanjian nuklear dan kepentingannya dalam memantapkan hubungan dua hala dengan Iran.”

Perjanjian dengan Tehran, yang dicapai di Vienna oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB – Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat campur Jerman, menyediakan penarikan balik sekatan antarabangsa yang melumpuhkan, sebagai imbalan bagi jaminan republik Islam tersebut tidak akan membangunkan bom nuklear.

Negara-negara lain masih belum menarik balik sekatan ke atas Iran, sementara menunggu pengesahan bahawa negara tersebut mematuhi perjanjian yang dimeterai pada 14 Julai.