Syabu berjaya dirampas polis marin

Syabu berjaya dirampas polis marin

SANDAKAN, 17 Ogos (Bernama) – Polis Marin merampas 19.11 gram syabu Berikutan penahanan seorang juragan bot dan seorang penumpangnya di kawasan perairan Batu 7 Pitas dekat sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Madun berkata bot laju dikemudi juragan berusia 21 tahun dengan seorang penumpang lelaki berusia 22 tahun ditahan pada pukul 2.15 petang dalam Ops Pensura.

Katanya nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,500 termasuk bot dan enjin.

Menurutnya dalam operasi itu, kedua-dua lelaki lelaki warga Filipina itu cuba melarikan diri dengan terjun ke laut apabila bot mereka dipintas oleh polis marin setelah tidak menghiraukan arahan untuk berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Semasa suspek terjun ke laut, anggota polis marin melihat seorang suspek mengeluarkan sesuatu dari poket sebelah kanan yang dipakainya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad berkata hasil pemeriksaan mendapati barang yang dibuang ialah dua paket plastik lutsinar sederhana besar berisi ketulan-ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati satu plastik berisi 28 paket plastik lutsinar pelbagai saiz yang setiap satunya berisi ketulan-ketulan hablur jernih dan lipatan kertas timah dijumpai di dalam bot laju berkenaan.

Katanya semua barang rampasan dan suspek dibawa ke pangkalan sebelum diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah untuk tindakan lanjut.

Menurutnya kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.