Syabu bernilai lebih RM350,000 dirampas

Syabu bernilai lebih RM350,000 dirampas

KUCHING, 7 Jun – Polis merampas dadah disyaki syabu bernilai RM355,364 dan menahan tiga lelaki dalam dua kes berasingan di sekitar Kuching semalam dan tengah malam Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Supt Lukas Aket berkata kes pertama melibatkan dadah disyaki syabu yang dibungkus dan diletakkan dalam kotak berisi makanan, minuman dan bahan makanan tambahan seberat 1.02 kilogram yang dihantar menggunakan kurier daripada Semenanjung.

Katanya bertindak hasil maklumat pengedaran dadah, kira-kira 9 pagi semalam sepasukan polis JSJN Sarawak telah menahan seorang suspek di Jalan Song, dekat sini.

“Lelaki tempatan berkenaan berusia 46 tahun itu ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 1.02 kilogram yang diletakkan dalam kotak yang dihantar menggunakan kurier.

“Anggaran nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM285,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, di sini, hari ini.

Lukas berkata suspek kini telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan untuk siasatan lanjut dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu.

Sementara itu, Lukas berkata kes kedua melibatkan dua warga negara asing yang ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 251.3 gram yang diletakkan dalam lampin pakai buang di Jalan Canna, kira-kira 12.05 tengah malam tadi dekat sini.

Beliau berkata anggaran nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM70,364.

“Ini merupakan tangkapan pertama melibatkan warga asing tahun ini. Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah, kedua-dua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Lukas berkata hasil siasatan mendapat kedua-dua kes tidak mempunyai sebarang kaitan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori jika disabit kesalahan. – Bernama