Syabu: Lelaki warga Indonesia ditahan

Syabu: Lelaki warga Indonesia ditahan

TAWAU, 30 Nov (Bernama) – Seorang lelaki warga Indonesia diberkas Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau kerana memiliki lebih 1,000 gram dadah syabu bernilai lebih RM100,000 di kawasan Batu-Batu, Sabindo di sini, pagi semalam.

Komander PPM Wilayah Sabah ACP Mohamad Madun berkata, tiga anggota PPM yang bertugas dalam Ops Landai, terserempak suspek yang dalam keadaan mencurigakan kira-kira 7.00 pagi sebelum suspek bertindak melarikan diri.

“Hasil siasatan awal, suspek terus mengaku membawa dadah syabu dalam beg sandangnya. Syabu berkenaan dibungkus beberapa lapis menggunakan plastik lut sinar,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pejabat PPM Tawau, hari ini.

Katanya, dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran ke Indonesia dan Tawau dijadikan sebagai tempat transit.

“Kita sedang menyiasat dari mana sumber bekalan dadah berkenaan diperoleh,” katanya menambah PPM sentiasa berhubung dan bertukar maklumat berkaitan pengedaran dadah dengan pihak berkuasa Indonesia.