Syahkampong tambat Street United

Syahkampong tambat Street United

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Penjaga gol Syahkampong, Muhd ‘Aiman Syafiq menyelamatkan satu mata buat pasukannya apabila tampil menjaringkan gol jarak jauh untuk mengikat Street United FT 1-1.

Dalam aksi Liga Futsal Brunei (BFL) 2015 pada minggu Kesembilan di Dewan Serbaguna, kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) malam tadi itu, Street United FT mendahului 1-0 menerusi rembatan Awangku Md Saiful Iman hanya 20 saat sebelum babak pertama berakhir.

Masuk separuh masa kedua, Street United FT mula melaksanakan strategi bertahan dengan berkampung jauh di kawasan sendiri dalam usahanya mengekalkan pendahuluan 1-0 berkenaan sambil ‘menjemput’ pemain Syahkampong masuk ke kawasan mereka sekaligus membuka ruang buat mereka melakukan serangan balas pantas.

Melihat Syahkampong masih tidak melakukan serangan-serangan terdesak untuk mendapatkan gol penyamaan, Street United FT mula merubah strateginya kepada menyerang pada pertengahan babak kedua perlawanan yang kemudiannya mengundang padah apabila Syahkampong berjaya mendapatkan gol penyamaan.

Syahkampong berkongsi mata selepas seri 1-1 dengan Street United semalam.
Syahkampong berkongsi mata selepas seri 1-1 dengan Street United semalam.

Setelah mendapatkan bola dari luar gelanggang, Muhd ‘Aiman Syafiq melakukan lontaran jarak jauh masuk ke petak D lawan, yang terkena kepala pertahanan Street United yang mendapat tekanan dari dua pemain Syahkampong, dan bola melantun masuk menerjah gawang Street United FT pada minit ke-36.

Empat minit terakhir perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan cuba mendapatkan gol kemenangan namun tiada lagi jaringan terhasil untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati masing-masing membawa pulang satu mata.