Syarikat Adinin prihatin soal kesihatan

Syarikat Adinin prihatin soal kesihatan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 12 Nov – Syarikat Adinin Works & Engineering (AWE) Sdn Bhd, dengan kerjasama Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, telah mengadakan sesi pertama Program Gaya Hidup Sihat berlangsung di ibu pejabat syarikat tersebut di Kompleks Harapan hari ini.

Sesi pertama daripada tiga sesi Program Gaya Hidup Sihat itu, diadakan antara lain bertujuan untuk memberikan kesedaran mengenai penyakit-penyakit tidak berjangkit dalam usaha untuk meningkatkan kesihatan kepada kalangan kakitangan syarikat itu melalui maklumat dan panduan serta nasihat kesihatan yang diberikan.

Sesi pertama hari ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat-syarikat Adinin, Haji Musa bin Haji Adinin, yang turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada jururawat dan kakitangan Hospital Suri Seri Begawan yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program selama tiga hari itu.

Beliau berharap program itu akan mencapai matlamat dan kesan yang positif serta kesedaran yang mendalam ke atas kesihatan semua pekerja, keluarga dan masyarakat amnya.

Pemeriksaan kesihatan ke atas kakitangan Syarikat AWE melalui Program Gaya Hidup Sihat Sesi Pertama kelmarin.
Pemeriksaan kesihatan ke atas kakitangan Syarikat AWE melalui Program Gaya Hidup Sihat Sesi Pertama kelmarin.

Program turut dimuatkan dengan penyampaian taklimat mengenai penyakit diabetes, darah tinggi, dan sebagainya serta bagaimana untuk mengawalnya, selain kakitangan syarikat turut diberikan nasihat mengenai pengambilan makanan yang seimbang dan sihat supaya kekal sihat dan cergas serta mampu mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

Ia juga memeriksa kesihatan semua kakitangan syarikat itu, termasuk tekanan darah, glukos, kolesterol dan sebagainya.

Individu yang mempunyai keputusan kesihatan yang kurang memuaskan telah turut diberikan nasihat supaya meningkatkan amalan diet yang sihat dan sentiasa merujuk kepada nasihat pihak hospital untuk mengelakkan risiko yang lebih tinggi.

Program Gaya Hidup Sihat ini juga akan turut dilaratkan ke atas kakitangan Syarikat Adinin Works & Engineering Sdn Bhd yang berpangkalan di Loji Penapis Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd dan Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd masing-masing pada 19 dan 26 November ini.

ARTIKEL YANG SAMA