Syarikat Asia perlu ikut perubahan digital

Syarikat Asia perlu ikut perubahan digital

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Syarikat-syarikat Asia yang memacu rentak peruncitan e-dagang global perlu mengikuti perubahan digital semasa jika mereka mahu mengekalkan pelanggan peka kos yang kini menguasai teknologi mudah alih.

Menurut Ketua Perbankan Komersial HSBC Malaysia, Mahbub Ur Rahman susulan peningkatan daya beli dalam talian dan pertumbuhan pesat kegiatan beli-belah menerusi peranti mudah alih, cabaran yang timbul sekarang ialah untuk memperhebat pengalaman pelanggan setia selain memikat pelanggan baharu.

Peruncit juga perlu meminimumkan risiko yang dikaitkan dengan rantaian bekalan antarabangsa, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata trend digital bukan sekadar memperkenalkan jenama dan produk dalam talian tetapi perlu turut melibatkan media sosial setiap hari bagi menyampaikan kandungan menarik dan relevan kepada pelanggan.

“Dinamik pasaran sememangnya telah berubah, namun prinsip asas runcit masih sama. Perniagaan perlu mengenal pasti pelanggan berpotensi dan menarik mereka untuk menjalankan transaksi.

“Peruncit perlu menggunakan teknologi untuk lebih memahami kitaran jualan produk mereka di samping mengetahui kaedah memaksimumkan margin yang semakin mengecil disebabkan peningkatan persaingan e-dagang,” katanya, menambah ia satu-satunya cara untuk mengekalkan pelanggan sedia ada sambil mendapatkan pelanggan baharu. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA