Syarikat automotif antarabangsa berminat jadi rakan kongsi Proton

Syarikat automotif antarabangsa berminat jadi rakan kongsi Proton

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Beberapa syarikat automotif terkemuka dari Eropah, China dan Jepun berminat untuk menjadi rakan strategik Proton, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menurutnya, kerajaan menyerahkan kepada pengeluar kereta nasional itu untuk membuat keputusan, namun meletakkan beberapa kriteria penting bagi pemilihan berkenaan.

“Bagi pihak kerajaan, Proton kena memastikan bahawa rakan strategik itu mampu melonjakkan kembali Proton.

“Rakan strategik itu perlu ada teknologi, modal dan jaringan eksport,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perangkaian Hari Raya kementerian dan agensi bersama sektor swasta di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Mustapa berkata, hubungan strategik Proton dengan syarikat luar dirasakan perlu kerana sebagai pemain industri yang kecil di peringkat antarabangsa, rakan strategik mampu membantu Proton mengembangkan perniagaannya.

Kira-kira 2,000 jemputan hadir pada majlis berkenaan yang turut meraikan anak yatim serta warga emas. – Bernama