Syarikat China bida projek kereta api laju KL-Singapura

Syarikat China bida projek kereta api laju KL-Singapura

BEIJING, 12 Mei (Bernama) – China Communications Construction Company Ltd (CCCC), sebuah firma nasional dan anak syarikatnya, China Harbour Engineering Company Ltd, (CHEC) berminat untuk membida projek kereta api berkelajuan tinggi Malaysia-Singapura (HSR).

Timbalan Pengurus Bahagian Pemasaran CHEC, Ding Wen berkata, butiran seperti bagaimana untuk menyiapkan, perlaksaan dan menghubungkan projek berkenaan dengan kedua-dua negara sedang dalam peringkat perbincangan.

Beliau berkata sebagai kontraktor antarabangsa, CCCC dan CHEC sangat berminat untuk mengambil bahagian dalam projek keretapi itu dan sedang memantau rapat perkembangannya.

“Kami akan menubuhkan satu pasukan yang terdiri daripada bank-bank yang berkelayakan, firma perunding dan kumpulan pelabur bagi bekerjasama dan membida projek ini,” katanya kepada sekumpulan wartawan Asia Tenggara yang mengikuti lawatan media selama tujuh hari ke Beijing, Tianjian, Suzhou Selatan dan Quanzhou.

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan bahawa memorandum persefahaman dengan Singapura dijangka akan ditandatangani pada pertengahan tahun depan sebagai pemudah cara projek kereta api tersebut.

Ini telah mencetuskan minat di kalangan firma pembinaan termasuk dari China.

Pengurus Besar, Jabatan Budaya Korporat CCCC, Yao Yanmin ketika bercakap mengenai strategi bisnes firma itu di rantau ASEAN, memberitahu ia mempunyai rancangan untuk menghubungkan rantau-rantau yang berbeza yang akan dirangka dalam pelan induknya sebagai sebahagian daripada rancangan masa depan syarikat tersebut.

Katanya, rancangan tersebut memerlukan peringkat kerjasama yang lebih tinggi daripada pelbagai pihak dan berharap untuk mendapatkan kerjasama yang lebih erat bagi menjayakan konsep itu.

“Rundingan dan perbincangan akan mengambil sedikit masa tetapi ini bukan satu tugas yang sukar.

“Yang paling mencabar ialah untuk melancarkan projek yang mampu menghubungkan kawasan-kawasan ini dan memahami bahawa setiap rantau sedang mengalami peringkat pembangunan yang berbeza,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA