Syarikat didenda gagal bayar caruman TAP

Syarikat didenda gagal bayar caruman TAP

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Sebuah syarikat telah dijatuhi hukuman denda sebanyak $1,200 oleh Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan, kelmarin, atas dua tuduhan gagal membayar caruman pekerja.

Menurut kenyataan Tabung Amanah Pekerja (TAP), hari ini, syarikat tersebut, yang diwakili oleh pemiliknya, telah mengaku bersalah ke atas dua-dua tuduhan kerana tidak membuat pembayaran caruman TAP bagi pekerjanya dari Jun hingga Julai 2015.

Syarikat tersebut juga dikehendaki untuk membayar caruman yang tertunggak dalam dua tuduhan tersebut kepada Tabung Amanah Pekerja.

Di bawah Bab 26 Akta Amanah Pekerja Penggal 167 dan Bab 29 Perintah Amanah Pencen Caruman Tambahan 2009, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi $10,000 bagi kesalahan kedua dan selanjutnya.

Dalam hal ini, TAP juga mengingatkan kepada majikan untuk sentiasa memastikan mereka membuat pembayaran caruman TAP dan SCP pekerja mereka sebelum 15 hari bulan pada bulan berikutnya bagi mengelakkan caj lewat pembayaran.

Pada masa yang sama, jika ada pekerja yang belum didaftarkan ke TAP atau tidak dibayarkan caruman TAP dan SCP, dinasihatkan untuk membuat aduan ke Pusat Panggilan TAP di talian 2382800 semasa waktu bekerja.

ARTIKEL YANG SAMA