Syarikat DWE terima kunjungan Politeknik Brunei

Syarikat DWE terima kunjungan Politeknik Brunei

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 13 Okt – Hampir 60 orang pelajar Politeknik Brunei bersama tujuh orang pensyarah mereka telah membuat lawatan sambil belajar ke Syarikat Damit Warley Engineering Sdn Bhd (DWE), di sini, hari ini.

Mengalu-alukan rombongan tersebut ialah Pengurus Sumber Manusia DWE, Haji Hamdan bin Haji Abdul Hamid, yang juga aktif mendapat undangan terlibat membangunkan modul bagi Diploma dalam Kursus Kejuruteraan Petroleum yang dikendalikan oleh Politeknik Brunei.

Semasa lawatan itu, rombongan pelajar telah ditunjukkan tentang AutoCAD dan turut berpeluang menyaksikan secara lebih dekat bagaimana kakitangan syarikat itu, yang terdiri daripada anak-anak tempatan, menggunakan perisian AutoCAD mereka.

Syarikat DWE, telah menubuhkan kerjasama dengan Politeknik Brunei apabila mereka diundang semasa sesi dialog yang dianjurkan pada bulan Mei lalu dan sejak itu syarikat berkenaan juga telah melatih dua orang pensyarah Politeknik Brunei bagaimana untuk mengendalikan AutoCAD dan Sistem Pengurusan Plan Design yang digunakan dalam kejuruteraan reka bentuk syarikat tersebut.

Ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi sama-sama membangun kebolehan anak bangsa di negara ini. Dengan tujuan itu juga, Syarikat DWE turut aktif bersama dengan Institusi Teknologi Brunei (IBTE) dalam membangun dan mereka bentuk modul bagi sijil HNTec dalam Kursus Engineering Design.

Pelajar-pelajar Politeknik Brunei ketika dalam lawatan ke Syarikat Damit Warley Engineering Sdn Bhd.
Pelajar-pelajar Politeknik Brunei ketika dalam lawatan ke Syarikat Damit Warley Engineering Sdn Bhd.

Syarikat DWE turut menaja dengan menyediakan dana untuk menyokong Anugerah Projek Pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) selain dua orang pegawai syarikat itu, yang terdiri daripada pengurus sumber manusia dan penyelaras pembangunan pembelajaran, turut menjadi panel hakim bagi Kursus TG-3306 Inovasi dan Keusahawanan 11, Inovatif Produk untuk Sektor Runcit, Fakulti Teknologi Bersepadu UBD pada April lalu.

Haji Hamdan memberitahu, pada tahun ini syarikat mereka dalam proses untuk menaja anugerah dua orang pelajar dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) semasa Konvokesyen UTB yang akan berlangsung pada 7 November ini.

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada sumbangan syarikat yang sudah terlibat dalam penajaan anugerah kepada pelajar-pelajar UTB, UBD dan IBTE Kampus Jefri Bolkiah sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya lagi, Syarikat DWE turut memberikan sokongan kepada Projek Skim Perantisan Tenaga Kebangsaan (NEGAS),  Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri sejak tahun 2015, dan pada tahun ini mereka turut merancang untuk menyerapkan seorang  calon NEGAS ke dalam Jabatan Proses syarikat.

“DWE juga sentiasa menyokong institusi teknikal apabila mereka memerlukan jurutera untuk menjadi panel hakim kepada projek akhir tahun, di samping jurutera syarikat juga turut diundang bagi memberikan seminar kepada pelajar-pelajar di UBD,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA