Syarikat Joffren Omar anjur kempen derma darah

Syarikat Joffren Omar anjur kempen derma darah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 30 Sept – Lebih 40 orang pelajar yang menyertai Program Rangka Kerja Kecekapan Industri Tenaga (EICF) selama enam bulan di Syarikat Joffren Omar Sdn Bhd (JO) adalah di antara mereka yang melibatkan diri dan menyokong Kempen Derma Darah anjuran syarikat tersebut, hari ini.

Para pelajar berkenaan yang memulakan kursus mereka di syarikat tersebut sejak Jun lalu dan berakhir bulan November ini, telah meluangkan masa mereka berbaris menunggu giliran untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan sebelum proses menderma darah dilakukan bermula sejak 8:30 pagi hingga 11:30 pagi kemudian disambung semula bagi sesi petang bermula pukul 2 hingga 4 petang.

Turut menyertai kempen kali kedua yang diadakan di ibu pejabat Syarikat JO, kawasan Perindustrian Ringan Sungai Bera ialah Pengarah Urusan Syarikat JO, Pengiran Mohd Noor Joffren bin Pengiran Omar dan Pengarah Korporat, Pengiran Mohd Noor Izzuddin bin Pengiran Omar serta kira-kira 100 orang dalam kalangan kakitangan syarikat.

Kempen yang dikendalikan dengan kerjasama Unit Tabung Darah, Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait (HSSB), merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat tersebut dan kempen yang sama telah dianjurkan dua tahun yang lalu, selain turut dirancang akan dijadikan kegiatan tahunan selepas ini.

Antara pelajar yang mengikuti Program EICF di Syarikat Joffren Omar turut menyertai kempen derma darah kelmarin.
Antara pelajar yang mengikuti Program EICF di Syarikat Joffren Omar turut menyertai kempen derma darah kelmarin.

Pengiran Mohd Noor Joffren ketika ditemu bual, berkata, kempen itu adalah bagi memberi kesedaran kepada kalangan kakitangan syarikat dan juga pentingnya menderma darah yang boleh membantu menyelamatkan nyawa dan ia juga boleh meningkatkan kualiti kehidupan kepada mereka yang memerlukannya.

Tambahnya lagi, seperti juga kecemerlangan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) yang menjadi permintaan dalam operasi seharian, usaha menderma darah juga perlu dilanjutkan, dan memastikan tabung simpanan darah sentiasa cukup turut menjadi peranan yang penting bagi semua dalam memastikan sistem tersebut berfungsi dan sentiasa memenuhi keperluan.

Sementara itu, pegawai dari Unit Tabung Darah, HSSB, memberitahu, sejumlah 48 pain darah berjaya dikumpulkan dalam kempen sesi sebelah pagi dan kempen disambung lagi pada sebelah petang, dengan harapan mereka dapat mengumpulkan 60 hingga 70 pain darah melalui kempen tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA