Syarikat Keluli Taiwan dikecam

Syarikat Keluli Taiwan dikecam

HANOI, Vietnam, 3 Ogos – Polis Vietnam telah melancarkan satu siasatan dalam pembuangan bahan beracun daripada sebuah syarikat keluli Taiwan yang telahpun menerima kecaman atas kematian ikan besar-besaran dalam apa yang dikatakan oleh pegawai merupakan bencana alam sekitar paling teruk di negara.

Bui Dinh Quang, penolong ketua polis di wilayah Ha Tinh di mana unit Kumpulan Plastik Formosa terletak, berkata sebuah syarikat tempatan menjadi sasaran siasatan selepas polis pada bulan lalu mendapati syarikat menimbus bahan buangan industri di sebuah ladang swasta.

Kira-kira 390 tan bahan buangan ditimbus di dua tempat, termasuk di ladang swasta di wilayah Ha Tinh, kata Quang.

Beliau berkata ujian oleh Kementerian Sumber Semula Jadi dan Alam Sekitar mengesahkan bahan buangan mengandungi tahap sianida yang merbahaya.

Quang berkata Formosa dan eksekutifnya juga akan disiasat kerana menandatangani satu kontrak dengan syarikat tempatan, yang tidak dibenarkan mengendali bahan buangan industri beracun.

Formosa mengakui pada Jun bahawa ia bertanggungjawab atas pencemaran yang membunuh sejumlah besar ikan di luar pantai Vietnam, dan berjanji akan membayar $500 juta untuk membersihnya dan membayar pampasan kepada orang yang terjejas.

Kerajaan dalam satu laporan kepada Perhimpunan Nasional pada bulan lalu berkata bencana menjejas mata pencarian lebih daripada 200,000 orang, termasuk 41,000 nelayan di empat wilayah utama.

Kira-kira 115 tan ikan terdampar di sepanjang 200 kilometer pantai tengah Vietnam pada April, kata laporan. Pencemaran mencetuskan bantahan di seluruh negara. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA