Syarikat kena kompaun $200 buang sampah tempat awam

Syarikat kena kompaun $200 buang sampah tempat awam

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Julai – Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait telah mengeluarkan denda kompaun sejumlah $200 ke atas sebuah syarikat ekoran didapati menyalahi Bab 12(1)(B) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 iaitu membuang sampah di kawasan awam.

Menurut kenyataan akhbar jabatan tersebut hari ini, syarikat terbabit didenda ekoran melonggok sampah di kawasan bukan dikhususkan untuk pembuangan sampah, dan dikesan oleh Unit Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait yang kemudiannya telah menjalankan siasatan.

Menurut jabatan itu, jika syarikat terbabit gagal mematuhi arahan yang diberikan denda sejumlah $1,000 akan dikenakan ke atasnya, dan jika didapati bersalah buat kali kedua dan seterusnya tindakan denda sejumlah $3,000 akan dikenakan dan dihukum penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait, sekali lagi mengingatkan orang ramai serta pemilik-pemilik premis perniagaan supaya sentiasa mematuhi peraturan pembuangan sampah yang telah ditetapkan.

Kegiatan pembuangan atau melonggokkan sampah adalah menjadi satu kesalahan Bab 12(1)(B) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30.
Kegiatan pembuangan atau melonggokkan sampah adalah menjadi satu kesalahan Bab 12(1)(B) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30.

Jabatan itu bagaimanapun menekankan, walaupun sudah berkali-kali menyarankan kepada orang awam dan pemilik premis-premis perniagaan supaya menjaga kebersihan kawasan sekeliling dan sentiasa membuang sampah di kawasan yang telah ditetapkan tetapi masih terdapat segelintir yang berdegil dan kurang faham mengenai Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 yang telah dikuatkuasakan.

Menurut jabatan itu pemantauan dan rondaan akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara-perkara seperti menyalahi peraturan dan undang-undang yang telah diperuntukkan kepada pihak Jabatan Daerah Belait supaya akan selalu mengawasi pembuangan sampah di kawasan premis-premis perniagaan, tempat-tempat awam di sekitar daerah bagi memastikan tidak berlaku pembuang sampah sewenangnya.

ARTIKEL YANG SAMA