Syarikat luar pesisir Labuan IBFC dijangka meningkat

Syarikat luar pesisir Labuan IBFC dijangka meningkat

KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) menjangkakan jumlah syarikat beroperasi di pusat luar pesisir itu meningkat antara lapan hingga 10 peratus tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd, Danial Mah Abdullah berkata unjuran rancak itu disokong bukan hanya oleh daya tarikan pusat berkenaan malah juga prospek ekonomi rantau yang positif.

“Ada ketika apabila beberapa pusat lain mencatatkan kadar pertumbuhan negatif, Labuan IBFC merekodkan kenaikan sebanyak tujuh peratus dari segi jumlah syarikat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Labuan IBFC menyediakan akses kepada rangkaian lebih daripada 80 perjanjian pencukaian dua kali Malaysia dan menawarkan kepelbagaian perniagaan dan struktur pelaburan untuk keperluan transaksi rentas sempadan, urus niaga perniagaan antarabangsa dan pengurusan kekayaan.

Danial berkata Labuan IBFC turut giat mempelbagaikan sektor pertumbuhannya bagi mengekalkan pembangunan bidang kuasa ‘midshore’ (iaitu antara domestik dan luar pesisir).

Ketika ini, Labuan IBFC menempatkan 13,000 syarikat, 209 syarikat insurans, 54 bank dan 374 syarikat pajak yang mewujudkan infrastruktur kewangan, dengan 75 peratus adalah dari rantau itu dan kira-kira 20 peratus adalah milikan Malaysia.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), Datuk Wira Jalilah Baba berkata, pertubuhan berkenaan menggalakkan anggotanya untuk memanfaatkan peluang perdagangan dan pelaburan di Labuan IBFC, terutama syarikat pengekport produk dan perkhidmatan masing-masing. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA