Syarikat Malaysia disaran ceburi pasaran F&B Thailand

Syarikat Malaysia disaran ceburi pasaran F&B Thailand

BANGKOK, 27 Mei – Pasaran sektor makanan dan minuman (F&B) Thailand yang besar mencecah sehingga 150 trilion Baht (RM1=8.5 Baht) setahun menyediakan pelbagai peluang kepada syarikat-syarikat Malaysia, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Thailand.

Pesuruhjaya Perdagangannya Niqman Rafaee Mohd Sahar berkata, syarikat-syarikat Malaysia mengeksport pelbagai produk F&B bernilai RM1.02 bilion ke Thailand pada tahun lepas, peningkatan 14.8 peratus berbanding 2014.

“Syarikat-syarikat Malaysia perlu mengambil peluang untuk menceburi dan memasuki pasaran sektor makanan dan minuman Thailand yang besar serta sentiasa berkembang,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas menghadiri seminar ‘Program Pecutan Pasaran dan Pertemuan Perniagaan dengan Pengmport Utama’ anjuran Matrade Thailand sempena THAIFEX-World of Food Asia 2016 di Impact Arena, Muang Thong Thani di sini.

Seminar itu dirasmikan Timbalan Ketua Misi kedutaan Malaysia di Thailand Mohd Faizal Ghazali.

Menurut Niqman Rafaee, eksport produk F&B negara ke Thailand bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini berkembang 2.8 peratus. Antara produk utama F&B Malaysia yang memasuki pasaran Thailand tahun lepas ialah produk berasaskan tenusu, koko, makanan dan sayuran serta makanan sejuk beku.

Katanya, kerjasama dengan syarikat pengimport Thailand juga memungkinkan produk F&B Malaysia itu meluaskan pasaran mereka itu ke pasaran di negara-negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam). – Bernama