Syarikat Malaysia sertai Pameran Manufacturing Indonesia 2015

Syarikat Malaysia sertai Pameran Manufacturing Indonesia 2015

JAKARTA, 4 Dis (Bernama) – Sebanyak sepuluh syarikat Malaysia menyertai pameran Manufacturing Indonesia 2015 bersempena dengan Jakarta International Expo, di sini.

Penyertaan mereka diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Indonesia, Naim Abdul Rahman berkata, pameran yang bermula 2-5 Dis itu bakal menyaksikan lebih seratus mesyuarat perniagaan diadakan antara delegasi Malaysia dan syarikat Indonesia. Menurutnya, syarikat Malaysia yang terlibat ialah pengeluar perkakas jitu tinggi, peralatan tuangan terap, produk kedap, dandang, pengandung tekanan dan pencetak 3D.

“Mereka berada di sini untuk bertemu dan berbincang dengan syarikat Indonesia mengenai peluang perniagaan dan potensi pengedaran pasaran bagi produk,” katanya kepada pemberita Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata Matrade mempromosikan penyertaan mereka menerusi pelbagai saluran termasuk pelawaan secara peribadi dan mesyuarat perniagaan bersemuka.

Menurut Naim, Indonesia merupakan pasaran yang sangat besar dengan lebih 250 juta penduduk dan industri pembuatannya berkembang pada purata 4-5 peratus setahun.

Malaysia merupakan satu daripada 10 pembekal utama mesin, perkakas dan alat-alatan ke Indonesia.

Pasaran itu mengimport mesin, perkakas dan alat-alatan bernilai lebih RM100 bilion pada 2014.