Syarikat minyak & gas hadapi kesukaran

Syarikat minyak & gas hadapi kesukaran

SINGAPURA, 28 Okt (Bernama) – Syarikat minyak dan gas di Asia-Pasifik mungkin perlu membuat keputusan sukar jika kejatuhan harga minyak berpanjangan.

Ini berdasarkan laporan bertajuk, “Another Decline In Oil Prices Could Have Asia-Pacific Oil And Gas Companies Over A Barrel,” diterbitkan oleh Standard & Poor’s Ratings Services hari ini.

Penganalisis Kredit S&P Mehul Sukkawala berkata: “Penarafan ke atas 40 peratus syarikat minyak dan gas yang kami nilaikan di Asia Pasifik dan 60 peratus profil kredit kendiri akan menghadapi tekanan penurunan jika harga minyak jatuh 10 peratus di bawah paras AS$50 setong tanpa sebarang tanda-tanda pemulihan.”

Secara keseluruhan, katanya penarafan ke atas syarikat milik negara China dan syarikat Australia yang paling terdedah, manakala profil kredit kendiri syarikat milik kerajaan di negara-negara seperti Indonesia dan Korea, menghadapi risiko yang paling tinggi.

Menurut laporan itu, syarikat minyak dan gas di Asia Pasifik masih berada pada kedudukan lebih baik berbanding di wilayah yang sektor tenaga menjadi penyumbang penting kepada kadar kemungkiran yang tinggi.

Ini terutamanya disebabkan syarikat tenaga di Asia Pasifik yang kadar S&P secara umumnya besar, mempunyai kedudukan kewangan yang baik walaupun harga minyak rendah dan mendapat manfaat daripada hubungan strategik yang erat dengan negara masing-masing.

S&P mengunjurkan harga minyak pada AS$55 pada 2016, AS$65 pada 2017, dan AS$70 pada 2018 dan seterusnya.

Sukkawala berkata jika prospek harga minyak menjadi lebih teruk, syarikat minyak dan gas di Asia Pasifik perlu menilai semula projek, mengutamakan pelaburan dan mengkaji semula agihan pemegang saham.

Beliau berkata mempertahankan kebolehpercayaan kredit dalam persekitaran yang sukar akan membawa kepada proses membuat keputusan yang sukar, terutamanya pada syarikat milik kerajaan yang menguasai sektor tersebut.

Kadar hutang syarikat minyak dan gas di Asia Pasifik lebih tinggi berbanding yang dijangkakan pada 12 bulan lalu.

S&P berkata perbelanjaan modal yang berterusan berikutan penurunan keuntungan mempengaruhi purata nisbah hutang kepada EBITDA (pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan).

ARTIKEL YANG SAMA