Syarikat MOSTI komersialkan produk inovasi tempatan

Syarikat MOSTI komersialkan produk inovasi tempatan

GEORGE TOWN, 6 Ogos – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merancang menubuhkan syarikat dan kilang sendiri untuk mengkomersialkan produk-produk inovasi tempatan supaya diterima masyarakat.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata beliau akan membentangkan kertas cadangan itu kepada kementerian supaya syarikat atau kilang diwujudkan di bawah MOSTI untuk tujuan pengkomersialan produk.

Menurutnya banyak produk inovasi tempatan tidak mendapat sambutan masyarakat tempatan walaupun sudah dikomersialkan.

“Saya gembira terhadap budaya inovasi negara, namun budaya untuk menggunakan produk inovasi tempatan serta jualan produk inovasi tempatan sangat rendah.

“Bagi membantu mereka, sayaakan mencadangkan kepada Menteri MOSTI supaya kita mengambil alih tugas pengkomersialan produk supaya dapat memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk mengguna produk tempatan,” katanya kepada pemberita sebelum merasmikan persidangan antarabangsa ‘Recent Advances in Material, Mineral and Environment’ anjuran Universiti Sains Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata syarikat atau kilang itu akan diserahkan kepada pihak swasta selepas produk-produk itu diterima oleh masyarakat.

Sementara itu, Abu Bakar berkata pihaknya juga menyasarkan untuk mengeluarkan sehingga 360 produk berimpak tinggi menjelang 2020. Katanya bagi mencapai sasaran tersebut, negara perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya 60 produk berimpak tinggi setiap tahun.

“Setakat ini, 63 produk inovasi telah dikeluarkan, dan saya yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan budaya inovasi negara yang tinggi,”katanya.

Beliau berkata setakat ini kerajaan menyediakan RM924 juta sebagai geran penyelidikan dalam Rancangan Malaysia Ke-10, dan 1,712 projek diluluskan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA