Syarikat M’sia bawa permainan kimia yang pertama ke Tokyo

Syarikat M’sia bawa permainan kimia yang pertama ke Tokyo

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) – Pemaju permainan pendidikan tempatan, ACE EdVenture Studio akan mempamerkan permainan bermain peranan kimia yang pertama di dunia iaitu ‘ChemCaper-Petticles in Peril’ di Pameran Permainan Tokyo pada minggu depan.

ACE EdVenture dalam satu kenyataan berkata turut hadir ke pameran itu adalah rakan kongsi mereka iaitu Artoncode Indonesia, yang juga merupakan rakan kongsi platinum Bandai Namco, Inc dan disokong oleh gergasi maklumat dan hiburan Indonesia, Emtek, permainan itu akan dipamerkan di bawah Pavilion Studio Permainan Indonesia mulai 17 hingga 20 September.

“ChemCaper bakal mengubah landskap pembelajaran para pelajar di seluruh dunia dengan menjadi satu-satunya permainan yang dapat merapatkan jurang antara pendidikan dan hiburan, ia telah menimbulkan kejutan di seluruh dunia dalam industri itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ChemCaper telah dipilih sebagai permainan Google I/O 2015 dan versi beta permainan itu telah menarik minat lebih daripada 800 media dari pelbagai platform disebabkan gabungan nilai pendidikan dan hiburan yang mampu mencipta semula pembelajaran dan membawa keseronokan kepada pelajar kimia Tahun 7.

“Konsep seperti kovalen, ion dan ikatan logam dipaparkan dan dipelajari dalam permainan itu,” katanya. Pameran Permainan Tokyo merupakan pameran perdagangan global di mana sebilangan besar individu dan syarikat yang terlibat dalam pasaran permainan berkumpul dari seluruh dunia.