Syarikat M’sia dipelawa sertai bursa saham Eropah

Syarikat M’sia dipelawa sertai bursa saham Eropah

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) – Bursa Saham Eropah (ESE) yang berpangkalan di London mempelawa syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia mengambil peluang untuk disenaraikan di bursa sahamnya.

Pengasas ESE Edward Fitzpatrick berkata pada masa ini bursa itu menyasarkan syarikat Asia, terutama Malaysia, untuk dilatih di bawah ESE dan dalam masa yang sama ia menyediakan platform untuk syarikat berkenaan tersenarai di pasaran saham sebenar.

ESE yang membuka cawangannya di sini baru-baru ini, merupakan penghubung antara dana orang ramai dan bursa yang dikawal selia bagi membolehkan syarikat mengemukakan profil, mengumpul dana, serta menguruskan pemegang saham, peraturan dan laporan, sebelum memasuki ke dalam persekitaran sebenar yang dikawal selia sepenuhnya.

Edward berkata, tempoh ini merupakan paling sesuai bagi syarikat Malaysia dan Asia terlibat dengan Eropah, memandangkan rantau itu berada dalam situasi pemulihan, malah, berada dalam fasa pengembangan dengan rangsangan kewangan yang kukuh.

“Pertumbuhan tidak lagi terikat dengan berjimat cermat. Bank-bank dalam keadaan kukuh. Pembaharuan struktur akan membayar dividen. Sementara Euro murah, situasi mata wang menjadikan syarikat Malaysia menarik, terutamanya dengan penyusutan nilai ringgit,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

ESE menyediakan platform seperti bursa saham yang dikawal selia, membolehkan pelabur membeli ekuiti swasta secara urusan langsung dengan syarikat di bawah peraturan tawaran persendirian.

ESE menyediakan platform untuk pertukaran idea, kerjasama, tenaga kerja dan perkhidmatan bagi menyokong pembangunan syarikat memandangkan syarikat-syarikat itu menuju ke arah penyenaraian atau kenaikan modal yang lebih besar.

Edward berkata potensi untuk disenaraikan di ESE adalah luas bagi syarikat PKS Malaysia dan ASEAN sedang berkembang yang masih tidak mampu berbelanja atau menghadapi risiko penyenaraian dengan bursa saham dagangan penuh.

Beliau berkata ESE menyediakan laluan selamat alternatif untuk senaraian serta untuk syarikat yang bersedia menawarkan perkhidmatan dan produk mereka kepada pasaran Eropah.

“Kos bagi penyenaraian dengan ESE untuk syarikat PKS Malaysia adalah sangat rendah berbanding bursa-bursa saham utama lain, sementara membolehkan syarikat tersenarai membawa wang masuk dan menerbitkan saham kepada pelabur dengan lebih mudah apabila masanya sesuai.

“Nilai saham hanya boleh meningkat, tidak menurun, memandangkan tiada penjualan dan urus niaga awam. Ia adalah proses inkubasi untuk syarikat sedang berkembang sebagai persediaan untuk penyenaraian dengan bursa saham utama pada akhirnya,” kata beliau.

ESE turut menyediakan pendekatan elak risiko yang lebih baik bagi syarikat Malaysia dan ASEAN bagi mendapat pendedahan antarabangsa dengan meningkatkan jualan serta peluang melalui perkongsian perniagaan antara rangkaian ESE yang kukuh.

“Tiada peraturan yang perlu dibimbangkan (penyenaraian dengan ESE). Syarikat ESE akan dapat berperanan seperti syarikat senaraian awam sebelum ia dapat dibentuk. Syarikat akan kekal tersenarai kecuali syarikat itu dibubarkan atau ditutup atas apa sahaja sebab, ESE tidak akan menyahsenarainya.

“Satu-satunya risiko adalah jika syarikat berkenaan tidak menggunakan penyenaraian itu kepada keupayaan penuh, manfaat akan menjadi kurang namun masih tidak akan ada risiko,” katanya.

Secara ringkasnya, Edward berkata ESE adalah penyelesaian kepada masalah yang dihadapi syarikat-syarikat baharu yang mahu mendapatkan bantuan pembangunan daripada pelabur dengan menghubungkan platform rangkaian terbaik yang ada pada masa kini dengan bursa saham yang telah lama diwujudkan.

Sehingga hari ini, beliau berkata ESE telah mengumpul lebih 100 juta paun dalam ekuiti swasta.