Syarikat M’sia raih kejayaan di Frankfurt

Syarikat M’sia raih kejayaan di Frankfurt

FRANKFURT, 14 Jan (Bernama) – Sebuah syarikat Malaysia yang mempamerkan produk bantal mewah dan barangan katil lain meraih kejayaan di pameran Heimtextil, Pameran Tekstil Rumah Antarabangsa Frankfurt, yang dianggap sebagai pameran terbesar dunia bagi produk tekstil rumah.

Fernex Sdn Bhd dari Kajang, Selangor, sekali lagi menyertai pameran tahun ini selepas kejayaan sulungnya pada 2015, kata Pengarah Pemasarannya Lim Lee Kheang kepada Bernama. Syarikat itu yang mempunyai operasi pembuatan di Selangor dan Shanghai (China), mempamerkan bantal, alas tilam, selimut dan tilam.

“Syarikat kami telah berusia 11 tahun dan berkembang dengan pesat. Pasaran utama kami adalah di Eropah, Timur Tengah dan Asia,” kata Lim sambil menambah penyertaan syarikat itu pada 2015 membawa kejayaan yang sangat baik bagi perniagaan.

“Kami boleh menjalin hubungan perniagaan yang baik dengan pembeli dari pelbagai negara di pameran 2015.

“Kami telahpun menerima tempahan pada pameran tahun ini daripada pelanggan sedia ada kami yang melawat gerai pameran kami untuk melihat produk baharu kami,” katanya.

Antara produk yang menarik ramai pembeli berpotensi ialah bantal Techambient syarikat, yang mengawal suhu mengikut suhu badan orang yang tidur.

Gerai pameran Fernex menarik pengunjung dari Jerman, Perancis, Belgium, Switzerland, Sweden dan Amerika Utara. Fernex juga akan turut menyertai Pameran Perabot Antarabangsa Cologne, yang akan berlangsung selepas pameran Heimtextil.

Menurut beberapa pakar bagi Asia Tenggara di pameran itu, Malaysia memiliki potensi mendapat tempahan dalam sektor tekstil rumah terutamanya daripada pasaran mewah di Eropah.