Syarikat penerbangan Asia Tenggara dijangka untung

Syarikat penerbangan Asia Tenggara dijangka untung

SINGAPURA, 29 Dis – Syarikat penerbangan di Asia Tenggara dijangka mencatatkan keuntungan tahun ini ekoran harga minyak yang rendah.

Trend keuntungan itu dijangka berterusan tahun depan.

“Syarikat penerbangan di Asia Tenggara sudah kembali hitam (untung) dan akan menyaksikan pemulihan tahun ini,” kata firma pemikir Pusat Penerbangan (Capa).

Namun, dengan persaingan sengit dalam rantau ini, tidak banyak syarikat yang dijangka meraih kadar keuntungan yang tinggi seperti tahun-tahun sudah.

Dalam laporannya, Capa menganggarkan 13 peratus daripada tempahan sejagat datang dari Asia Tenggara.

Satu sampel menunjukkan 20 syarikat penerbangan Asia Tenggara menikmati keuntungan sebanyak AS$729 juta ($1.02 bilion) dari Januari hingga September tahun ini berbanding kerugian AS$557 juta setahun lalu.

Syarikat Singapore Airlines (SIA) mencatatkan keuntungan kedua terbesar sebanyak AS$203 juta, di belakang AirAsia dari Malaysia yang meraih keuntungan sebanyak AS$220 juta.

Sebuah lagi syarikat penerbangan tempatan yang meraih untung ialah SilkAir yang mencatatkan laba sebanyak AS$32 juta. Tiger Airways dan SIA Cargo mengalami kerugian kecil.

Jetstar Asia pula tidak dimasukkan dalam senarai itu kerana syarikat itu tidak mengumumkan keuntungan bersih setiap suku tahunan.

Namun, berdasarkan keuntungan sebelum faedah dan cukai yang dilaporkan kepada Qantas Group, Jetstar juga meraih keuntungan bagi tahun kewangan ini. – BHS