Syarikat perabot Itali dibuka di Brunei

Syarikat perabot Itali dibuka di Brunei

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jan – Peminat perabot tulen buatan Itali tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkannya, kerana syarikat perabot Bellavista Lifestyle And Furniture yang dibuka rasmi semalam di Jalan Muara boleh menepati cita rasa orang ramai.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh pemilik syarikat pengeluar perabot StatuS dari Venice, Itali, Emiliano Piovesana bersama anak perempuannya, Alice,

Piovesana ketika ditemu bual berkata, dengan pembukaan syarikat itu, penggemar perabot tulen tidak perlu rasa ragu-ragu lagi kerana sebaik sahaja memasuki kedai mereka, para pengunjung akan mendapati semua perabot yang dipamerkan serta alat-alat perhiasan dan aksesori perabot semuanya buatan Itali.

Menceritakan mengenai latar belakang syarikatnya, Emiliano Piovesana berkata, StatuS ditubuhkan oleh beliau pada 1984 dan antara perabot yang mula-mula dikeluarkan ialah perabot klasik.

Ruang dalaman Syarikat Bellavista Lifestyles And Furniture.
Ruang dalaman Syarikat Bellavista Lifestyles And Furniture.

Setelah 12 tahun berlalu, beliau membuat keputusan untuk melakukan perubahan besar dalam pengeluarannya dengan mengeluarkan perabot yang berbentuk kontemporari.

Menjelaskan lebih mendalam lagi, Emiliano berkata, terdapat tiga reka bentuk perabot yang terdapat di pasaran pada hari ini, iaitu reka bentuk klasik yang banyak mempamerkan ukiran-ukiran halus, reka bentuk moden yang lebih ringkas rekaannya bagi mencerminkan kehidupan moden yang ringkas dan pantas, dan kontemporari yang menerapkan gabungan antara reka bentuk ciri klasik dan moden.

Beliau menjelaskan, sejak mengubah reka bentuk perabot keluaran syarikatnya itu, perabot keluaran StatuS kini boleh didapati di 55 buah negara di serata dunia, dengan kilang pengeluarannya terletak berhampiran Venice, Itali yang sepenuhnya dikendalikan oleh robot di bawah seliaan hanya 24 orang pekerja.

Dengan kecanggihan itu, StatuS mampu menghasilkan kira-kira 1,000 perabot koleksi bilik tidur dan koleksi ruang makan dalam sebulan. Menceritakan mengenai harga perabot yang ditawarkan di Bellavista, Piovesana berkata, perabot tersebut mempunyai jaminan penuh selama dua tahun .

Salah satu ciri unik perabot keluarannya ialah penggunaan gabungan empat jenis kayu, iaitu kayu poplar yang lembut dan bic yang keras dari Eropah serta dua jenis kayu dari Afrika, iaitu mahogani dan tanganyika yang sama kualiti tetapi lebih murah harganya, jelasnya lagi.

Mereka yang ingin melihat sendiri perabot keluaran StatuS Itali, bolehlah mengunjungi Syarikat Bellavista Lifestyles And Furniture yang terletak di Unit 9-14, Kompleks 116, Jalan Muara, Kampung Delima Satu (bertentangan dengan Maktab Sains).

ARTIKEL YANG SAMA