Syarikat pertama kendali Dreamliner sepenuhnya

Syarikat pertama kendali Dreamliner sepenuhnya

SINGAPURA, 24 Julai – Scoot berada di landasan untuk menjadi syarikat penerbangan bajet pertama di dunia yang beroperasi dengan armada Dreamliner apabila pesawat 777 terakhirnya ditamatkan perkhidmatan berjadual pada lewat Ogos 2015.

Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata ia baharu sahaja menerima Dreamliner keenam, yang juga pesawat 787-8 pertamanya.

Pesawat pengubah permainan Boeing versi lebih kecil itu dinamakan ‘Ba Bao’ dalam bahasa Cina bermakna ‘khazanah kelapan atau bayi kelapan’.

‘Ba Bao’ mengoperasikan perkhidmatan pertama ke Sydney pada pagi Khamis.

Ketua Pegawai Eksekutif Scoot, Campbell Wilson berkata Scoot menerima 787 pada kadar yang pantas iaitu satu setiap bulan sejak Februari.

“Kami akan mengekalkan rentak bagi baki tahun.

“Proses peralihan kami berjalan lancar dan kami teruja untuk menjadi pengendali armada 787 pertama dunia,” katanya.

Pada masa ini, armada Scoot merangkumi satu 777-200, satu 787-8 dan lima 787-9. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA