Syarikat Sabli bekerjasama dengan Maktab SOAS

Syarikat Sabli bekerjasama dengan Maktab SOAS

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Dalam usaha menyokong program pelajar pra-vokasional, Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd dengan kerjasama Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (Maktab SOAS) telah melancarkan aktiviti pembungkusan rempah bersama para pelajar hari ini.

Hadir melancarkan aktiviti itu ialah Pengurus Syarikat Sabli Food Industries, Haji Mohd Nooh bin OKMD Haji Saman. Turut hadir ialah Pengetua maktab, Awang Zamain bin Abdul, timbalan-timbalan pengetua, para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan pegawai dari Unit Pendidikan Khas, guru-guru dan pelajar Program Pra-Vokasional.

Pada aktiviti itu, Haji Mohd Nooh menunjukkan kepada hadirin langkah-langkah pembungkusan rempah daripada menimbang, membungkus dan meletakkan pelekat bar kod pada setiap paket. Kemudian para pelajar dan guru-guru diberi peluang untuk melakukan sendiri pembungkusan.

Menurut Haji Mohd Nooh, aktiviti itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya yang merupakan kerjasama kedua selepas yang pertama di Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar pada 5 Oktober 2015.

Gambar ramai warga Maktab SOAS dan Syarikat Sabli yang terlibat dalam aktiviti pembungkusan rempah itu.
Gambar ramai warga Maktab SOAS dan Syarikat Sabli yang terlibat dalam aktiviti pembungkusan rempah itu.

Program Pra-Vokasional mula diperkenalkan oleh Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan pada tahun 1999 dan telah dilaksanakan di 27 buah sekolah menengah dan maktab kerajaan di keempat-empat daerah setakat tahun 2016.

Ia mengamalkan pendekatan kemahiran untuk hidup dalam membantu dan melatih pelajar dengan kebolehan kognitif yang sederhana supaya mereka boleh berdikari dalam kehidupan seharian.

Program ini melibatkan pelajar dalam aktiviti praktikal seperti memasak, ‘housekeeping’, pertukangan kayu, berkebun, dan kraf tangan kreatif yang lain untuk membangunkan kemahiran asas vokasional.

Ia merupakan program lima tahun yang mana dalam Tahun 10 para pelajar akan menjalani penempatan kerja selama tiga bulan manakala dalam Tahun 11 para pelajar akan menjalani penempatan kerja selama enam bulan.

ARTIKEL YANG SAMA