Syarikat telekomunikasi beri rebat kepada pelanggan prabayar tahun depan

Syarikat telekomunikasi beri rebat kepada pelanggan prabayar tahun depan

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Syarikat telekomunikasi akan memberi rebat kepada pelanggan prabayar Malaysia mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2016.

Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM) dalam satu kenyataan hari ini, berkata rebat berkenaan, bersamaan dengan jumlah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), akan dikredit secara terus kepada akaun pelanggan prabayar seiring dengan pengumuman kerajaan semasa Bajet 2016 pada Oktober.

“Ini bermakna pelanggan yang menambah nilai RM10 akan pada mulanya mendapat masa bual RM9.43 kerana enam peratus GST akan ditolak daripada tambah nilai itu.

“Pelanggan terlibat akan menerima rebat RM0.57 dalam tempoh 24 jam. GST yang dibayar pelanggan akan dikumpul dan dibayar kepada Jabatan Katam Diraja Malaysia, selaras dengan Undang-Undang GST dan garis panduan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang diguna,” tambahnya.

CFM berkata, syarikat telekomunikasi telah bekerja keras untuk memastikan transisi lancar agar pengguna mempunyai pengalaman baik apabila menambah nilai. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA