Syarikat telekomunikasi perlu lebih inovatif

Syarikat telekomunikasi perlu lebih inovatif

KUALA LUMPUR, 27 Dis – Memandangkan pendapatan tidak lagi berkembang dalam pasaran tepu, penyedia telekomunikasi mudah alih atau syarikat-syarikat telekomunikasi perlu menyediakan produk yang lebih inovatif serta memperoleh aliran pendapatan baharu untuk mengekalkan perniagaan.

Pengurus Penyelidik Kanan IDC Market Research (M) Sdn Bhd bagi Telekomunikasi ASEAN, Alfie Amir berkata jumlah pendapatan mudah alih mula merosot pada 2014 pada satu peratus, berbanding tahun sebelumnya, daripada RM24.3 bilion kepada RM23.9 bilion.

“Pendapatan dijangka tidak berubah dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 0.2 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penembusan mudah alih Malaysia juga telah mencapai 141 peratus (jumlah pengguna mudah alih kepada penduduk) pada 2014 dan dijangka kekal pada kira-kira 140 peratus bagi beberapa tahun akan datang.

Berdasarkan keadaan tidak banyak ruang untuk berkembang, Alfie berkata satu-satunya cara bagi syarikat-syarikat telekomunikasi meningkat ialah dengan menguasai pelanggan daripada pesaing.

Oleh itu pada 2015, industri menyaksikan pengendali mudah alih, mengadakan pelbagai pelan mampu milik dan berdaya saing untuk menarik asas pelanggan yang yang lebih luas dan besar.

Alfie berkata Digi telah berkembang kukuh sejak beberapa tahun lepas berbanding dua peneraju industri, Maxis dan Celcom, dan telah merapatkan jurang dari segi bahagian pasaran.

“Digi telah berkembang daripada peserta nombor tiga di pasaran dengan hampir 10 peratus di belakang kedua-dua syarikat peneraju itu, kepada hampir setanding dengan mereka pada 2015,” katanya.

Walaupun dalam keadaan yang mencabar, tiga pengendali mudah alih utama di Malaysia ini kekal komited untuk melabur dalam rangkaian dan infrastruktur mereka yang memberi tekanan kepada margin, kata Alfie.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2015, syarikat-syarikat telekomunikasi membelanjakan RM1.95 bilion dalam perbelanjaan modal, naik 14 peratus berbanding RM1.7 bilion yang dibelanjakan secara kolektif tahun lepas, demikian menurut satu laporan.

Celcom dan Maxis terus mempunyai liputan terbesar, dengan Celcom menyediakan rangkaian dalam suara, mesej SMS, data 3G dan 4G LTE paling pantas dan 97 peratus liputan negara, katanya.

Maxis pula mempunyai rangkaian Evolusi Jangka Panjang (LTE) terbesar di negara ini manakala Digi dan U Mobile kekal berdaya saing dan telah memperluaskan liputan dari dalam Lembah Klang ke kawasan-kawasan seperti Pulau Pinang, Perak dan Melaka, kata laporan itu.

Sementara itu, bagi segmen talian tetap, pasaran masih kurang dengan penembusan jalur lebar masih rendah dan potensi pertumbuhan masih besar bagi tempoh lima tahun akan datang, kata Alfie.

Telekom Malaysia Bhd (TM) kekal peserta dominan dengan rangkaian terbesar bagi segmen berkenaan, katanya.

Perolehan TM bagi sembilan bulan pertama 2015 meningkat kepada RM8.54 bilion daripada RM8.08 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas, dengan jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM1.15 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Tan Sri Zam-zamzairani Mohd Isa berkata prospek syarikat itu bagi 2015 kekal positif, dengan UniFi masih menikmati kadar pengambilan kerana syarikat meneruskan pengembangan liputan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Baru-baru ini, TM telah menandatangani perjanjian Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi 2 (HSBB) dan Jalur Lebar Sub-Urban (SUBB) dengan kerajaan yang merupakan inisiatif untuk meluaskan penembusan jalur lebar negara.

Ia akan menyediakan infrastruktur bertaraf dunia bagi pembangunan kandungan dan aplikasi di Malaysia dengan kelajuan sehingga 100 Mbps bagi rumah-rumah dan perniagaan.

HSBB 2 akan dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun dengan kerajaan melabur RM500 juta dan TM sebanyak RM1.3 bilion, untuk menyediakan akses jalur lebar berkelajuan tinggi kepada lebih 390,000 premis menjelang 2017.

Mengenai masa depan, Alfie berkata bagi syarikat-syarikat telekomunikasi mudah alih mengekalkan keuntungan, syarikat perlu menawarkan harga lebih berdaya saing, pakej lebih baik, meningkatkan pengalaman pelanggan dan melihat kepada tarikan dan perkhidmatan nilai tambah lain, untuk membina kesetiaan pelanggan sebagai perbezaan.

Bagaimanapun, harga yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat telekomunikasi telah berada di tahap yang sangat kompetitif, oleh itu perkhidmatan nilai tambah akan menjadi faktor yang membezakan, katanya.

Syarikat-syarikat telekomunikasi juga perlu melihat ke dalam aliran pendapatan baru dan trend itu menunjukkan syarikat bergerak jauh ke dalam memainkan peranan yang lebih besar dalam teknologi dan maklumat (IT) dengan Internet of Things (IoT) dan big data analytics (BDA) lebih peranan, kata Alfie. – Bernama