Syarikat tempatan, BLNG tandatangani kerjasama

Syarikat tempatan, BLNG tandatangani kerjasama

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 2 Dis – Tiga syarikat subkontraktor tempatan, kelmarin, menandatangani kontrak baru dengan Syarikat Brunei LNG Sdn Bhd bagi penyediaan perkhidmatan projek, perkhidmatan penyelenggaraan dan pemulihan serta bagi penyediaan perkhidmatan sivil, penebat dan salutan.

Hadir bagi menyaksikan penandatanganan perjanjian tersebut yang berlangsung di Dewan Orkid, Ibu Pejabat Brunei LNG, Lumut, Belait, ialah Timbalan Pengarah Urusan Brunei LNG, Dr. Thomas Jenke, Pengurus Kontrak dan Pemerolehan Brunei LNG, Joop Gritter dan Pemegang Kontrak untuk Perkhidmatan Bersepadu Brunei LNG, John Picaulij.

Menandatangani perjanjian bagi pihak Brunei LNG ialah Pengarah Urusan serta Ketua Pegawai Eksekutif Brunei LNG iaitu Awang Mohamad bin Haji Awang Damit.

Sementara itu, Adinin Works & Engineering Services diwakili oleh Pengarah Urusannya, Haji Musa bin Haji Adnin; Syarikat Sahud Sdn Bhd oleh Pengarah Urusannya, Pengiran Haji Adanan bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail dan Syarikat Mashhor General Contractors Sdn Bhd diwakili oleh Pengarah bagi Perkembangan Projek dan Perniagaan, Malai Haji Hamir bin Haji Malai Mashhor.

Tandatangan perjanjian di antara Brunei LNG dan Syarikat Mashhor.
Tandatangan perjanjian di antara Brunei LNG dan Syarikat Mashhor.
Gambar ramai di majlis penandatanganan perjanjian kontrak tersebut.
Gambar ramai di majlis penandatanganan perjanjian kontrak tersebut.

Awang Mohamad dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu berkata Kontrak Perkhidmatan Bersepadu (ISC) ini sangat penting untuk ketersediaan dan integriti aset operasi Brunei LNG dan untuk mengekalkan pengeluaran cecair gas asli.

Satu lagi perkembangan yang ingin dilihat daripada kontrak itu juga adalah pengambilan anak-anak tempatan bagi melakukan kerja-kerja perkhidmatan yang dipersetujui dalam kontrak tersebut. Menurutnya, kontrak ini telah direka untuk menggalakkan pembangunan tenaga kerja tempatan.

Dalam kontrak ini juga mempunyai elaun bagi permohonan gaji minimum, waktu selaras dengan Brunei LNG dan skim insentif progresif iaitu sesuatu yang baru dalam industri ini.

“Ketiga-tiga kontrak ini juga merangkumi lebih 100 jawatan dalam EICF (Rangka Kerja Kompetensi Industri Tenaga) bagi para graduan dan pemegang HND, anda perlu menggunakan jawatan-jawatan ini untuk membangunkan kompetensi warga pekerja tempatan supaya mereka menjadi kakitangan yang berkelayakan dan mahir,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA