Syarikat tempatan diseru tembusi pasaran eksport

Syarikat tempatan diseru tembusi pasaran eksport

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan memulakan sesi perbahasan Sesi Mesyuarat Pertama Musim Permesyuaratan ke-12 dengan mengupas isu-isu ekonomi kritikal yang ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan merasmikan Musim Permesyuaratan ke-12, baru-baru ini.

Dalam sesi membahaskan usul menjunjung kasih ke atas titah Baginda Sultan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali bin Haji Apong berkata antara isu pertumbuhan dan kemajuan ekonomi negara yang diberikan perhatian untuk dibahaskan ialah supaya syarikat tempatan mula meneroka pasaran eksport, menjunjung saranan Baginda Sultan supaya industri tempatan tidak bersikap berpuas hati dengan pencapaian mereka di pasaran tempatan.

Beliau juga menggariskan inisiatif kerajaan dalam menyediakan pelbagai program bagi mengembangluaskan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelaburan langsung asing (FDI) di negara ini.

Menurut Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali, titah Baginda Sultan memberi beberapa penekanan seperti saranan Baginda Sultan untuk mendengarkan pendapat Ahli-ahli Yang Berhormat mengenai cara-cara mengurangkan kebergantungan negara kepada sumber asli minyak dan gas.

Baginda Sultan juga ingin supaya Ahli-ahli Yang Berhormat untuk sama-sama memikirkan bagaimana negara dapat menjana pendapatan dan seterusnya bagaimana pula kerajaan dapat menjadi rakan kongsi dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali.

pg08_160309_MMN-_LogoSeterusnya ujar beliau, Baginda Sultan juga menyarankan supaya industri-industri tempatan tidak hanya menyasarkan sara diri semata-mata, sebaliknya Baginda Sultan mengharapkan supaya industri-industri tempatan menerokai pasaran eksport dengan merebut peluang-peluang pasaran serantau dan antarabangsa yang luas melalui rangkaian-rangkaian pemangkin yang sedia ada seperti BIMP-EAGA, ASEAN, APEC dan Perkongsian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA), bagi membantu menjana pertumbuhan ekonomi.

“Saya rasa bahawa titah ini sangat bersesuaian untuk dijadikan sebagai panduan kepada semua pihak sama ada pihak kerajaan, swasta mahupun orang ramai yang menjadi penduduk di negara ini,” beliau berkata.

Sambil merujuk perangkaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) pada 2014 mengenai pertumbuhan industri tempatan beliau berkata, 89.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah bersumber daripada nilai-nilai output atau hasil keluaran daripada perniagaan dan industri swasta dan syarikat-syarikat milik kerajaan.

Beliau menjelaskan, kerajaan telah menyediakan pelbagai program termasuk program bagi memudahkan orang ramai memulakan perniagaan program mengembangkan pengusaha kecil dan sederhana, program menggalakkan perkembangan pelaburan langsung asing di negara ini.

Katanya lagi, kerajaan juga telah menubuhkan Dana Pelaburan (SDC) untuk membuat pelaburan dalam syarikat pelaburan langsung asing (FDI) dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam negara, tertakluk kepada kesediaan syarikat tersebut.

Bagaimanapun, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Ali juga mengutarakan beberapa persoalan yang perlu dibincangkan berhubung industri dan pengusaha tempatan, iaitu sama ada pengusaha tempatan terutama mereka yang sudah mencapai kejayaan seperti syarikat yang sudah menjana hasil pendapatan $10 juta hingga $30 juta mahu atau bersedia untuk tumbuh lebih jauh sehingga mencapai hasil pendapat antara $100 juta hingga $200 juta setahun dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Beliau mempersoalkan sama ada mereka (pengusaha tempatan) mahu atau bersedia untuk beroperasi secara skala besar atau menggunakan teknologi terkini untuk mengurangkan kos pengeluaran serta meningkatkan produktiviti .

“Adakah mereka mahu atau bersedia untuk menerokai pasaran eksport, adakah mereka mahu dan bersedia untuk menyerapkan urus tadbir yang terbaik dalam menguruskan syarikat mereka atau pun sama ada mereka mahu dan bersedia untuk menerima suntikan modal daripada pelabur-pelabur venture capital yang akan memudahkan syarikat berkembang dengan cepat dan akan menyediakan rangkaian pasaran antarabangsa,” beliau bertanya.

Menurutnya, pihak kerajaan telah menubuhkan SDC sebagai penyedia dana kepada perusahaan tempatan dan FDI yang berminat untuk bertapak dan berkembang kerana selama ini suntikan pelaburan dana daripada SDC kebanyakannya adalah kepada syarikat FDI.

Ini kerana syarikat FDI yang dilabur adalah syarikat yang mempunyai rekod perdagangan (track record) yang telah terbukti daripada segi pertumbuhan hasil dan jualan di peringkat antarabangsa.

Beliau menjelaskan kedatangan FDI ke negara ini bukan menyasarkan kepada pasaran tempatan, sebaliknya untuk eksport ke negara-negara ASEAN dan antarabangsa kerana kebanyakan mereka adalah syarikat yang tersenarai di pasaran saham di negara masing-masing.

Sehubungan itu, isu ketelusan dan isu urus tadbir baik tidak menjadi keraguan kepada mana-mana pelabur termasuk penyumbang dana venture capital di bawah SDC.

Beliau juga menjelaskan, inisiatif Baginda Sultan untuk menubuhkan SDC memang sesuai kerana dana itu memberikan fokus kepada PKS tempatan yang sudah mempunyai produk dan perniagaan yang berpotensi untuk dikembangkan, dengan syarat pihak pengurusan syarikat sentiasa berfikiran terbuka untuk mengamalkan urus tadbir baik dan untuk terus tumbuh sehingga ke luar sempadan negara.

Mengimbas kembali pengalamannya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) Yang Berhormat menjelaskan, beliau mendapati syarikat-syarikat tempatan yang sudah mencapai tahap tertentu sudah mudah berpuas hati dengan pencapaian mereka, sekali gus mengakibatkan hasil pendapatan mereka sepanjang sepuluh tahun adalah sama saja.

Menurutnya, syarikat terbabit tidak tumbuh sebaliknya hanya membuat sasaran kepada pasaran dalam negara dan masih tidak dapat menembusi pasaran eksport.

Sama halnya dengan syarikat yang ditadbir oleh anggota keluarga dan bukannya oleh orang profesional tanpa mengikuti amalan urus tadbir terbaik, yang secara keseluruhannya akan mengakibatkan pengurus dana pelaburan tidak berasa selesa dan memakan masa panjang untuk membuat penilaian sama ada ingin menyuntik modal ke dalam syarikat terbabit.

Beliau mengakhiri ucapan bahasnya dengan menyarankan bahawa suntikan modal hanya akan berkesan sekiranya pemilik syarikat itu sendiri ingin mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih luas.

ARTIKEL YANG SAMA