Syawal terus meriah

Syawal terus meriah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Bulan Syawal hampir sampai ke penghujungnya namun kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1436H masih terasa dengan majlis-majlis sambutan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

Majlis Perundingan Mukim Berakas B dan Pusat Kegiatan Warga Emas Brunei Darussalam, turut tidak ketinggalan memeriahkan penghujung Syawal tahun ini dengan majlis sambutan yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan II Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Mengalu-alukan kehadiran tetamu kehormat dan para jemputan ialah Penghulu Mukim Berakas B, Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon.

Datin Paduka Hajah Adina bersama para tetamu yang lain di majlis itu.
Datin Paduka Hajah Adina bersama para tetamu yang lain di majlis itu.
Datin Paduka Hajah Adina menyertai persembahan bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.
Datin Paduka Hajah Adina menyertai persembahan bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri.

Turut hadir ialah Pengerusi Pusat Kegiatan Warga Emas, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin selaku pengerusi majlis.

Terlebih dahulu bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat membuka tirai majlis yang dibacakan oleh Haji Adam bin Haji Tamit disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh penghulu Mukim Berakas B.

Sejurus selepas itu, tetamu kehormat majlis dijemput untuk menyertai persembahan lagu Selamat Hari Raya bersama barisan ahli-ahli Jawatankuasa majlis sebelum diteruskan dengan persembahan Tausyeh oleh ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas.

Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Berakas B turut membuat persembahan sebelum diteruskan dengan 10 lagi persembahan lain oleh perwakilan kampung-kampung di bawah Mukim Berakas B.

ARTIKEL YANG SAMA