Syawal terus semarak

Syawal terus semarak

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di negara ini masih dapat dirasakan walaupun bulan Syawal semakin hampir ke penghujungnya, dengan majlis-majlis sambutan yang diadakan di sana-sini oleh pelbagai pihak.

Majlis Perundingan Kampung (MPK) Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan, Mukim Berakas B adalah antara yang menyemarakkan bulan Syawal ini dengan mengadakan Majlis Sambutan Ramah Mesra Aidilfitri di Dewan 1 Jalan 2, RPN Kampung Perpindahan Lambak Kanan, Berakas, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Lambak Kanan, Haji Jumat bin Nasir.

Ketua kampung dalam ucapan ringkasnya, meluahkan perasaan bangga terhadap ahli-ahli jawatankuasa MPK serta anak-anak buah kampung berkenaan dalam sama-sama menjayakan majlis berkenaan yang menunjukkan keharmonian hidup dalam sebuah kampung dan bermasyarakat serta memupuk hubungan kejiranan dengan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan penduduk kampung untuk sentiasa memberikan kerjasama yang padu dan komitmen kepada ketua kampung dalam menghubungkan kesalingfahaman, kejiranan, permuafakatan, gotong royong dan seterusnya memastikan keamanan kampung sentiasa terjaga.

Antara persembahan nyanyian yang menyerikan lagi Majlis Sambutan Ramah Mesra Aidilfitri MPK Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan.
Antara persembahan nyanyian yang menyerikan lagi Majlis Sambutan Ramah Mesra Aidilfitri MPK Kawasan 4 Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lambak Kanan.
Ketua kampung mempersembahkan nyanyian untuk memeriahkan lagi majlis.
Ketua kampung mempersembahkan nyanyian untuk memeriahkan lagi majlis.

Selain itu, ia juga menyumbang buah fikiran dan tenaga bagi sama-sama berganding bahu memelihara kesejahteraan kampung dengan mewujudkan perpaduan hidup masyarakat, tambahnya.

Majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan beberapa persembahan nyanyian lagu Hari Raya dan bermacam-macam lagi.

Majlis seumpama ini diadakan bagi menghubungkan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung di samping dapat beramah mesra, bertukar-tukar pandangan dalam sama-sama memberikan kerjasama dan memupuk perpaduan ke arah mengadakan acara-acara yang berkebajikan.

Sementara itu, seramai 35 orang bekas pelajar Maktab Melayu Paduka Seri Begawan Sultan Jalan Muara Pengambilan tahun 1976, kelmarin, berhimpun dalam Majlis sambutan Hari Raya di kediaman salah seorang daripada mereka di Kampung Rimba.

Majlis sambutan berkenaan ini adalah kunjungan terakhir setelah mengunjungi semua rumah bekas pelajar secara bergilir sejak Hari Raya ke-3 yang lalu.

Gambar ramai bekas pelajar Maktab Melayu Paduka Seri Begawan Sultan Jalan Muara Pengambilan tahun 1976.
Gambar ramai bekas pelajar Maktab Melayu Paduka Seri Begawan Sultan Jalan Muara Pengambilan tahun 1976.
Gambar ramai di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PPDBM.
Gambar ramai di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PPDBM.

Persatuan Pengakap Daerah Brunei dan Muara (PPDBM) turut tidak ketinggalan mengadakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri yang diadakan di Ibu pejabat PPDBM di Kompleks Pengakap Jalan Gadong, di sini.

Hadir sama di majlis itu ialah Ketua Pesuruhjaya Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), Skipper Haji Badar bin Haji Mohd Ali, Pengerusi PPDBM, Pengiran Mahdi bin Pengiran Haji Mohd Salleh, pesuruhjaya-pesuruhjaya daerah, penolong pesuruhjaya daerah, ahli-ahli pengakap serta keluarga mereka.

Menurut Pesuruhjaya Daerah Brunei dan Muara, majlis itu bertujuan untuk menyemai semangat kekeluargaan dan mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Di samping itu, ia juga memberi kesempatan kepada mereka untuk saling bermaaf-maafan dan juga mengukuhkan lagi persahabatan yang sedia terjalin dalam kalangan ahli-ahli pengakap bersama pemimpin yang lebih senior.

Dengan berkonsepkan rumah terbuka, majlis juga diserikan dengan cabutan bertuah.

Sementara itu, baru-baru ini, Jawatankuasa Anak-anak Muda, Persatuan Belia Kampung Bunut Perpindahan (IKERAB) turut menganjurkan majlis seumpamanya bagi penduduk Kampung Bunut Perpindahan yang berlangsung di bangunan persatuan tersebut.

Persembahan nyanyian memeriahkan lagi Majlis Ramah Mesra Aidilfitri IKERAB.
Persembahan nyanyian memeriahkan lagi Majlis Ramah Mesra Aidilfitri IKERAB.
Penghulu Mukim Kilanas menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah kepada pemenang di majlis sambutan itu.
Penghulu Mukim Kilanas menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah kepada pemenang di majlis sambutan itu.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Penghulu Mukim Kilanas, Haji Abdullah bin Haji Halus, dan turut dihadiri oleh anak-anak muda kampung berkenaan dan isteri masing-masing serta sebahagian penduduk sekitarnya.

Majlis didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu kehormat yang disedekahkan kepada ayahnya, Allahyarham Haji Halus bin Abdul samad dan juga pengasas persatuan terdahulu.

Dalam ucapannya, Haji Abdullah antara lain melahirkan rasa bersyukur dan tahniah kepada Anak-Anak Muda Persatuan IKERAB kerana telah berjaya mengungkayahkan majlis seumpamanya buat julung-julung kalinya dengan sambutan yang begitu menggalakkan.

Menurutnya, majlis itu bertujuan untuk memeriahkan lagi Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan pada waktu yang sama mengeratkan lagi silaturahim sesama penduduk kampung berkenaan tanpa mengira usia agar bersatu hati dalam sama-sama menjayakan segala hal ehwal kebajikan penduduk berkenaan.

Majlis dimeriahkan lagi dengan beberapa persembahan oleh belia dan beliawanis kampung dan diakhiri dengan cabutan bertuah.

ARTIKEL YANG SAMA