Syiling kenangan Hari Keputeraan dijual esok

Syiling kenangan Hari Keputeraan dijual esok

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Sempena memperingati Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan duit-duit syiling kenang-kenangan emas, perak dan kupronikel yang akan mula dijual kepada orang ramai pada 28 Julai ini.

Duit-duit syiling berkenaan akan sah diperlakukan di Negara Brunei Darussalam dan boleh diperoleh di Unit Pengurusan Mata Wang, Kilang Wang, Reka bentuk Mata Wang dan Galeri, Bangunan BCMB, AMBD.

Ia dikeluarkan dalam tiga jenis iaitu emas, perak dan kupronikel di mana ini merupakan kali ketiga duit syiling kenang-kenangan itu dikeluarkan, jelas Pemangku Pengarah Eksekutif Pengurusan Mata Wang, Kilang Wang, Reka bentuk Mata Wang dan Galeri, Pengiran Maslina binti Pengiran Haji Mahmud dalam sidang media mengenai pengeluaran duit syiling kenang-kenangan di Bilik Seminar, Bangunan BCMB, hari ini.

Menurutnya lagi, duit syiling kenang-kenangan itu dikeluarkan setiap sepuluh tahun sejak 1996 dan keluaran 2016 merupakan kali ketiga. Mengulas mengenai keterangan duit-duit syiling yang dikeluarkan itu, beliau menjelaskan bahawa bagi duit syiling emas ia mempunyai nilai muka $70 dengan komposisi Emas 999.9, berat 31.10 gram, garis pusat 32.12 milimeter dan dikeluarkan dengan kuantiti sebanyak 100 keping dan dijual pada harga $2,800.

Pengiran Maslina menunjukkan duit-duit syiling kenang-kenangan yang akan mula dijual kepada orang ramai pada 28 Julai nanti.
Pengiran Maslina menunjukkan duit-duit syiling kenang-kenangan yang akan mula dijual kepada orang ramai pada 28 Julai nanti.

pg07_160727_c

Manakala itu, bagi duit syiling jenis perak, ia mempunyai nilai muka $7 dengan komposisi Perak 999, berat 31.10 gram, garis pusat 40.70 milimeter dan dikeluarkan dengan kuantiti sebanyak 250 keping pada harga jualan sebanyak $180.

Sementara itu, bagi duit syiling jenis kupronikel, ia mempunyai nilai muka 70 sen komposisi Kupronikel (75/25), berat 28.00 gram, garis pusat 40.70 milimeter dan dikeluarkan dengan kuantiti sebanyak 150 keping serta mempunyai harga jualan $110.

Duit syiling kenang-kenangan itu juga dikeluarkan dalam set tiga dalam satu di mana set berkenaan mengandungi duit syiling emas, perak dan kupronikel dan dikeluarkan sebanyak 150 set dengan harga jualan sebanyak $3,000.

Pengiran Maslina berkata bahawa duit-duit syiling kenang-kenangan itu dikeluarkan dengan jumlah yang terhad dan bagi mereka yang berminat boleh mendapatkannya apabila ia mula dijual kepada orang ramai pada 28 Julai nanti.

Beliau juga menerangkan bahawa reka bentuk hadapan duit syiling berkenaan mempunyai wajah Baginda Sultan yang terkini manakala reka bentuk belakang pula ialah nombor 70 dalam tulisan Jawi yang berbentuk bunga.

ARTIKEL YANG SAMA