Syria, Iran seri tanpa jaringan

Syria, Iran seri tanpa jaringan

SEREMBAN, Malaysia, 16 Nov – Hasrat Syria untuk meraih tiga mata berharga tidak kesampaian apabila seri 0-0 berdepan Iran pada pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018 di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Bagaimanapun, Iran terlebih dahulu mengkucar-kacirkan benteng pertahanan Syria menerusi percubaan Mehdi Taremi pada minit ketiga, namun percubaannya berjaya ditepis keluar penjaga gol lawan.

Iran sekali lagi berpeluang membolosi gawang Syria pada minit ke-26 melalui percubaan Ashkan Dejagah, tetapi percubaannya gagal menerjah jaring.

Bersambung babak kedua perlawanan, Syria berusaha memperkemaskan permainan dan memperoleh peluang menjaringkan gol menerusi Omar Khrbin pada minit ke-59, namun gerakannya menemui jalan buntu.

Selepas itu, kedua-dua pasukan saling mengasak pintu gol lawan, namun peluang yang terhidang gagal dimanfaatkan sehingga ke wisel penamat.

Perlawanan yang dijadual bermula 8 malam itu, terpaksa ditunda selama 45 minit berikutan hujan lebat sejak 7:15 malam tadi.

Dalam perlawanan sebelum ini, Syria kalah 0-1 kepada Qatar, manakala Iran mencatat kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan.

Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi, ditentukan oleh FIFA bagi perlawanan berkenaan selepas Syria tidak dapat beraksi di negara sendiri akibat perang saudara. – Bernama