Syria: IRM ge...

Syria: IRM gesa masyarakat antarabangsa bertindak segera

KUALA LUMPUR, 20 April – Islamic Relief Malaysia (IRM) menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera bagi menamatkan konflik di Syria yang kian memuncak, selain memastikan negara itu mudah diakses untuk membolehkan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

Pengarahnya Zairulshahfuddin Zainal Abidin berkata, keadaan hospital di wilayah Khan Sheikhoun di barat laut Idlib yang rosak teruk akibat serangan senjata kimia baru-baru ini secara tidak langsung mengganggu operasi bantuan kemanusiaan.

“Dari semasa ke semasa, Ketua Misi Islamic Relief Syria (IRS) Mohammed Gumni memaklumkan kepada kita maklumat terkini.

“Menurutnya makanan, air dan ubat-ubatan amat diperlukan,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas perkembangan terkini mengenai dua hospital yang terjejas.

Dua hospital itu ialah Al Rahma dan Al Marrah di bawah pengawasan IRS yang musnah akibat serangan senjata kimia pada 5 April.

Sehingga kini, tiada pihak tampil bertanggungjawab terhadap serangan itu. Serangan senjata kimia itu paling dahsyat sejak Sarin gas yang membunuh beratus-ratus orang awam di Ghouta, Damsyik pada Ogos 2013.

Zairulshahfuddin berkata, pasukan IRS kini menghadapi cabaran besar untuk memastikan semua bantuan kemanusiaan yang dikumpulkan hasil sumbangan masyarakat antarabangsa melalui derma dan kutipan dana IRS di seluruh dunia sampai kepada mangsa.

“Semasa saat sukar ini kita menghadapi banyak cabaran. Walaupun IRS mempunyai lebih daripada 30 kakitangan sepenuh masa tetapi mustahil untuk pasukan konvoi kemanusiaan sampai ke kawasan terjejas dan menghulurkan bantuan kecemasan kepada orang awam,” katanya.

Antara cabaran yang perlu dihadapi ialah ketika disekat pihak berkuasa, di mana kakitangan dilarang memasuki kawasan terjejas atas alasan ketidakstabilan politik dan faktor keselamatan kakitangan IRS yang perlu menjadi pertimbangan setiap masa.

“Bagaimanapun, kami (keluarga Relief Islam termasuk IRM) akan tetap meneruskan usaha membantu orang awam di Syria,” katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada IRM untuk diagihkan kepada IRS boleh berbuat demikian di bawah kempen ‘MySedekah-Save Syria’.

Menurut IR Worldwide, 541 orang dilaporkan cedera manakala 89 orang maut termasuk 33 kanak-kanak dan 18 wanita.

Hospital tidak dapat beroperasi akibat kerosakan dialami dan 20 peratus kelengkapan sumbangan Relief Islam turut musnah. – Bernama