Syria terus dibedil menjelang perjanjian, 6 terbunuh

Syria terus dibedil menjelang perjanjian, 6 terbunuh

BEIRUT, 12 Sept – Serangan udara di Bandar Aleppo yang menjadi medan pertempuran sekian lama di Syria mengorbankan enam orang awam menjelang 24 jam sebelum bermulanya gencatan senjata yang ditaja Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

Gencatan senjata yang diumumkan selepas rundingan panjang antara Menteri Luar Rusia dan AS, disifatkan peluang terbaik untuk menamatkan perang saudara selama lima tahun di Syria yang sudah mengorbankan lebih 290,000 orang.

Sebelum menjelang matahari terbenam hari ini apabila gencatan senjata dijangka bermula, kumpulan pemberontak yang memerangi tentera rejim dan pihak pembangkang masih mempertimbangkan keputusan sama ada mahu menyertai proses damai itu atau sebaliknya.

Hanya satu kumpulan pemberontak, Ahrar al-Sham, sudah memberi jawapan rasmi iaitu menolak proses damai itu yang disifatkan mereka hanya menguatkan lagi rejim Presiden Bashar al-Assad.

Serangan terbaharu itu berlaku sehari selepas bedilan udara oleh pesawat yang tidak dikenali di dua bandar di utara Syria yang dikuasai pembangkang.

Warga Syria menyelamatkan anak damit melalui runtuhan bangunan yang musnah selepas serangan udara di kejiranan Salihin yang dikuasai pemberontak di bandar utara Aleppo, kelmarin. – AFP
Warga Syria menyelamatkan anak damit melalui runtuhan bangunan yang musnah selepas serangan udara di kejiranan Salihin yang dikuasai pemberontak di bandar utara Aleppo, kelmarin. – AFP

Sekurang-kurangnya 62 orang maut termasuk 13 wanita dan 13 kanak-kanak apabila bandar Idlib dibedil.

Serangan itu turut memusnahkan pasar yang penuh dengan penduduk yang bersiap sedia untuk menyambut Aidiladha.

Aleppo diserang untuk hari kedua hari ini, demikian menurut Badan Pemerhati Hak Asasi Syria yang menyebabkan 12 orang awam terbunuh.

“Kami berharap akan ada gencatan senjata supaya orang awam boleh tenang. Bedilan berterusan siang dan malam, mereka menyasarkan untuk membunuh dan memusnahkan bandar,” kata Abu Abdullah, yang tinggal di timur Aleppo yang dikuasai pemberontak. – AFP