Systematic Aviation peruntuk AS$3-AS$5 juta bagi capex 2016

Systematic Aviation peruntuk AS$3-AS$5 juta bagi capex 2016

PETALING JAYA, 29 Dis – Syarikat penerbangan awam, Systematic Aviation Services Sdn Bhd (SAS) akan memperuntukkan antara AS$3 juta dan AS$5 juta (AS$1 = RM4.29) sebagai perbelanjaan modal (capex) pada 2016 untuk mengembangkan perniagaan.

Pengasas/Ketua Pegawai Eksekutifnya Ismail Asha’ari berkata capex akan diguna untuk membina pangkalan di Langkawi dan menyokong kegiatan pelancongan yang pesat di sana.

“Kami akan membeli dua pesawat kecil untuk pangkalan di Langkawi,” katanya dalam taklimat media bersempena lawatan kerja Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan ke hangar syarikat di sini, hari ini.

Pada masa ini SAS memiliki 25 pesawat dengan kebanyakannya model Cessna dan tiga helikopter Bell.

Ismail berkata pada masa ini syarikat menempatkan satu helikopter di Langkawi yang diguna untuk membawa pelancong mengelilingi pulau.

“Kami mahu mengembangkan segmen ini. Untuk tujuan itu, kami kini bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi,” katanya.

SAS antara sejumlah syarikat yang ditampilkan dalam kempen ‘Your Success Our Story’ SME Bank. Syarikat bekerjasama dengan SME Bank buat pertama kali pada 2007 dan setakat ini jumlah pinjamannya dengan bank itu adalah sebanyak RM30 juta.

Hari ini SAS turut melancarkan pakej KL Sky Tour sebagai tambahan kepada tiga ‘sky tour’ sedia ada iaitu Subang-Pangkor, Subang-Tioman, dan Subang-Redang.

KL Sky Tour menawarkan dua pakej iaitu menggunakan pesawat Cessna U206G dengan empat penumpang pada harga RM1,200 dan helikopter Bell 407GX dengan lima penumpang pada harga RM3,800. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA