Syukur, dapat berhari raya di rumah baru

Syukur, dapat berhari raya di rumah baru

Oleh Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 4 Julai – Dalam usaha memeduli rakyat dan penduduk di negara ini yang tergolong sebagai asnaf fakir miskin, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) sentiasa menjalankan usaha-usaha memberikan bantuan termasuklah membina rumah untuk golongan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, Majlis Penyerahan Bantuan Rumah Baru yang diadakan hari ini menyaksikan dua buah rumah telah diserahkan kepada Awang Ramli bin Mohd Yusof dan Hajah Norsiah binti Haji Awang Maruni.

Penyerahan kunci rumah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud.

Majlis dimulakan dengan penyerahan rumah bantuan kepada Awang Ramli di Kampung Mumong, diikuti dengan rumah Hajah Norsiah di Kampung Sungai Bakong, Lumut. Kedua-dua rumah dibina menggunakan peruntukan Kumpulan Wang Zakat Asnaf Fakir Miskin di bawah pengendalian usaha sama dan bersepadu Jabatan MUIB dengan Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

Dato Paduka Haji Mokti menyerahkan anak kunci dan sijil penyiapan rumah baru kepada Awang Ramli di Kampung Mumong.
Dato Paduka Haji Mokti menyerahkan anak kunci dan sijil penyiapan rumah baru kepada Awang Ramli di Kampung Mumong.

Rumah baru jenis banglo itu dibina dengan kos berjumlah $45,575 setiap sebuah dengan kemudahan termasuk tiga buah bilik tidur, sebuah ruang tamu, dapur, bilik mandi dan tandas.

Majlis juga menyaksikan Dato Paduka Haji Abdul Mokti menyerahkan wang agihan Zakat menjelang Hari Raya Aidilfitri bagi Daerah Belait kepada tiga orang penerima di bawah senarai Asnaf Fakir Miskin.

Para penerima berkenaan ialah Awang Kaseh bin Ahmad di Jalan Jaya Indera, STKRJ Kampung Mumong; Awang Azmi bin Haji Tuah di Jalan Teripas, RPN Kampung Panaga Seria; dan Haji Wahid bin Haji Tengah di Kampung Keluyuh, Sungai Liang.

Awang Kaseh dan Haji Wahid masing-masing menerima agihan wang Zakat sejumlah $500 manakala Awang Azmi menerima $4,100 jumlah keseluruhan, di mana $500 diterima sebagai ketua keluarga dan $3,600 bagi tanggungannya seramai sembilan orang.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Roslan bin Haji Taja’ah; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Johar bin Haji Mohammad;Pemangku Setiausaha MUIB, Haji Hamzah bin Haji Sabtu; ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Mohd Yusof bin Dulamin dan Yang Berhormat Haji Shafiee bin Ahmad; penolong pegawai Daerah Belait, ketua Pejabat Ugama Belait serta para pegawai Jabatan MUIB dan Jabatan Daerah Belait.

ARTIKEL YANG SAMA